24 Februari 2012

Merancang Untuk Perkara Yang Tidak Dirancang, Adalah Juga Merancang Untuk Masa Depan





Berbelit juga tajuk kali ini.

Beberapa hari yang sudah, setelah bertafakur semasak yang mungkin dalam memikirkan hal-hal masa depan, aku akhirnya telah membuat keputusan untuk menyertai satu pelan takaful.

Biar pun menyertai pelan takaful ini asalnya tidak tersenarai dalam Rancangan 8 Tahun, namun aku melihat ia sebagai satu pelan kontijensi yang perlu dalam aku mencapai apa yang diimpikan. Apa guna mengejar segala impian itu kalau diri aku sendiri tidak dilindungi, betul tak?

Sepuluh tahun dulu, benda seperti takaful dan insuran bagi aku hanya cukup sekadar untuk kereta. Itu pun sebab undang-undang menetapkan kalau mahu ada kereta persendirian mesti kena beli insuran. Sepuluh tahun dulu aku langsung tidak terfikir perlunya untuk aku melindungi diri sendiri dengan takaful atau insuran sama seperti aku melindungi kereta kesayangan.

Namun dengan meningkatnya umur aku dan terbitnya sedikit kewarasan dalam perancangan hidup, aku merasakan masanya sudah tiba untuk aku merancang untuk perkara yang tidak dirancang. Apatah pula tidak lama lagi aku bakal berhenti mencarum secara wajib ke KWSP, maka satu destinasi baru perlu diwujudkan di mana aku dapat menyumbang duit untuk simpanan hari tua dan pada masa yang sama pula memberi perlindungan ke atas diri sendiri.

Maka tanpa berlengah lagi aku menghubungi seorang sahabat yang juga merupakan seorang ejen takaful. Baiklah yang sebenarnya aku hubungi dua orang sahabat sekaligus dan meminta mereka mengusulkan satu pelan takaful yang tidak dapat lagi aku tolak atau pertikaikan. Dalam tempoh 24 jam dengan pantas dua orang sahabat merangkap ejen ini telah memberikan usul masing-masing sehingga aku berdepan pula dilema nak lantik sahabat yang mana satu menjadi ejen takaful aku.

Syukur, dengan sedikit diplomasi dan perbincangan antara kami bertiga, akhirnya salah seorang dari mereka terpilih sebagai ejen takaful aku. Satu pelan dirangka untuk melindungi diri aku sehingga mencecah umur 80 tahun, baik dari mati yang sengaja atau tak sengaja. Selain dari itu faedah perubatan juga turut ditawarkan sehingga umur 70 tahun, merangkumi rawatan pesakit luar atau dalam. Pada masa yang sama, pelan ini turut memberikan aku perlindungan pendapatan andai kata aku kehilangan punca pendapatan akibat kemalangan atau sakit. Dan turut tidak ketinggalan, ia memberikan aku tabung pelaburan sebagai persediaan untuk harinya bila aku bersara nanti.

Semua ini pada kos sehari yang lebih murah dari harga satu set hidangan Value Meals saiz sederhana di McDonald's. Dan percayalah, makan McDonald's setiap hari boleh mendatangkan penyakit dan bil perubatan yang melampau. Jadi dari membazir duit setiap hari makan McDonald's untuk dapat penyakit, lebih baik menabung setiap hari sebagai perlindungan ketika sakit.

Tetapi apa yang membuatkan aku percaya perlunya diri sendiri dilindungi dengan pelan takaful ialah hasil dari pengalaman melihat arwah Abah sakit. Syukur kerana statusnya sebagai pesara kerajaan, perubatan Abah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan di Institut Jantung Negara. Kami ahli keluarga bebas dari menanggung bil perubatan yang jumlahnya ribuan ringgit dan Emak pula masih dapat menerima faedah pencen Abah setelah Abah meninggal dunia.

Pun begitu, kami sebagai keluarga turut merasa kesannya. Tak sedikit duit yang dibelanjakan untuk membeli ubatan sampingan serta peralatan tertentu untuk Abah yang terlantar sakit. Abah walaupun sudah berpencen sebelum sakit masih bekerja secara kontrak, maka keluarga kami kehilangan satu punca pendapatan apabila Abah terpaksa berhenti kerja. Begitu juga dengan Adik yang turut berhenti kerja kerana memikul tanggungjawab menjaga Abah yang terlantar di hospital dan kemudiannya di rumah. Dengan dua punca pendapatan hilang serta belanja sampingan yang ditanggung, memang terasa juga pedihnya buat kami sekeluarga.

Arwah Abah meninggal ketika umur 59 tahun setelah merana sakit jantung selama lebih 20 tahun, terima kasih atas tabiat merokoknya ketika zaman muda yang mendapat bebelan setimpal dari Emak. Bukanlah berasal dari keluarga yang berada, tidak banyak yang diwariskan oleh arwah Abah melainkan pencen kerajaannya dan sebuah rumah pusaka. Bukanlah kami sekeluarga merungut kerana masing-masing di antara kami juga punya pendapatan, Emak dengan pencennya sendiri sedang anak-anak semuanya bekerja. Tetapi aku tahu untuk arwah Abah sendiri, beliau pastinya berharap dapat meninggalkan lebih untuk keluarganya.

Atas sebab itu, takaful yang aku ambil bukan saja untuk melindungi diri sendiri. Tetapi ia juga untuk melindungi orang tersayang, untuk tidak terlalu membebankan mereka apabila aku terbeban dan untuk meninggalkan sesuatu buat mereka apabila masanya sudah tiba untuk aku.

Banyak perkara dalam hidup ini boleh kita rancang, tetapi ada juga perkara yang tidak dirancang. Dan sesungguhnya merancang untuk perkara yang tidak dirancang adalah juga satu rancangan untuk masa depan.

Tafakur, dan kemudian takafulkan diri anda.

Pelan takaful aku dirancang dan dijelaskan oleh dua ejen berlesen, saudara Nasron Yasin dari blog LKNY dan saudara Firdaus Ahmad dari blog Sembang Kencang. Kedua mereka adalah sahabat dan juga bapa penyayang. Aku okay dengan semua itu, kecuali bab mereka berdua adalah juga pengulas kem Manchester United di Sokernet. Yang ini potong sikit.