Sesiapa yang rajin mengikuti aku di Facebook atau Twitter pasti tahu bahawa ada masanya aku berbasikal ke pejabat.
Bermula dengan niat sekadar kaedah pengangkutan alternatif, sekarang basikal sudah menjadi kaedah pengangkutan utama untuk aku pergi kerja. Kereta yang sebelum ini kerap digunakan sudah jatuh nombor dua. Hanya digunakan bila benar-benar perlu, sama ada jika kerja hari itu menuntut perjalanan luar yang jauh atau kerana keadaan cuaca yang cemburu kepada basikal.
Berbasikal untuk ke pejabat bagi aku adalah sama seperti apa yang dilakukan selama 6 tahun dulu ketika di sekolah rendah, iaitu berbasikal untuk ke sekolah. Dan ramai dari kita juga pastinya pernah melalui fasa berbasikal ke sekolah ini. Jadi berbasikal ke pejabat adalah lebih kurang mengulang kembali rutin yang pernah kita buat dulu ketika masih berjiwa muda dan bertenaga.
Asal-usul berbasikal ke pejabat ini bermula pada 16 Mei 2011. Pada masa itu Bunny kesayangan datang dari Kuala Lumpur untuk bercuti di Sabah dan turut membawa bersama basikal fixie kepunyaannya. Oleh kerana tidak sampai hati membiarkan Bunny kayuh basikal seorang diri, aku pun buat keputusan membeli sebuah basikal untuk diri sendiri. Lagi pun niat hendak berbasikal ini memang sudah lama dipendam dari dulu lagi.
Tidak banyak kedai basikal di Kota Kinabalu sebenarnya. Kedai yang benar-benar serius ada dua ketika itu. Satu di Kampung Air dan satu lagi di Tanjung Aru. Setelah mengkaji harga pasaran dan pakej yang ditawarkan oleh kedua-dua kedai, aku akhirnya memilih sebuah basikal berjenama Oscar dengan harga mampu milik, RM450 dari kedai yang di Tanjung Aru. Ianya sebuah mountain bike (MTB) yang boleh digunakan baik di atas jalan raya atau jalan tidak beraya.
Walaupun tidak semahal dan berjenama seperti Merida contohnya, basikal Oscar ini bagi aku sudah cukup bagus dan sesuai untuk kegunaan seharian, bukan sekadar untuk memanjat bukit di hujung minggu. Ianya mudah diselenggara dan menjimatkan kos. Pun begitu aku menetapkan untuk mengayuh lebih dari 450km agar pelaburan sebanyak RM450 untuk basikal ini boleh dikira berbaloi.
Aku sempat berbasikal dengan Bunny sekali sahaja. Kemudian dia pulang ke Kuala Lumpur dan begitu juga dengan basikal fixie kepunyaannya. Basika yang aku beli lebih banyak tersadai di rumah. Sepanjang bulan Mei dan Jun hanya dalam 2 ke 3 kali sebulan saja aku berbasikal. Pada masa itu aku masih lebih banyak berlari dari berkayuh.
Kemudian Julai tiba dan serentak dengan itu aku juga beralih dari menggunakan aplikasi GPS senaman Runtastic kepada Endomondo. Pada masa yang sama juga aku kembali berjinak dengan basikal Oscar yang aku beli, mempelbagaikan aktiviti senaman dengan berkayuh dari sekadar berlari. Menyusul selepas Julai ialah Ogos yang merangkap bulan puasa dan basikal aku kembali tersadai. Usai Aidilfitri, aku kembali rajin berkayuh sepanjang September tapi ianya masih juga terhad kepada aktiviti senaman.
Semuanya berubah pada 14 Oktober 2011. Pada jam 6.28 pagi, buat kali pertama aku berbasikal dari rumah ke pejabat. Semenjak dari hari itu aku telah melakukan rutin kayuh untuk kerja ini sebanyak 42 kali.
Adakah aku telah berjaya menebus balik pelaburan sebanyak RM450 untuk dikira sebagai berbaloi membeli basikal Oscar ini?
Secara keseluruhannya hingga hari ini, aku telah berbasikal sejauh 565.75km. Diambil kira pula jumlah petrol dan wang yang dapat dijimatkan, ianya lebih dari berbaloi.




