27 Oktober 2009

Salam Beverly

Aku tahu memang sudah lama aku tidak kemaskini blog.

Jadi bila puluhan susuk sudah mula bertanya, dan 90% dari si penanya itu pula ialah perempuan, aku arif masanya sudah tiba untuk sedikit kemaskini.

Perempuan semuanya mahukan perhatian. Jika tidak mereka akan capai tas tangan dan berlalu pergi dengan kasut tumit tinggi berdetup-detap. Oleh itu penting untuk aku kekalkan golongan perempuan yang merupakan pembaca majoriti blog ini.

Bila mereka bersuara, “You, kenapa tak update blog?” maka aku harus beri respon yang baik dak kemaskini blog seadanya.

Kebelakangan ini aku akui agak sibuk sedikit. Berkejar ke sana ke mari, berulang alik KK dan KL, kursus sana sini dan kerja. Tapi yang paling menyibukkan dalam banyak hal-hal sibuk ialah proses berpindah rumah.

September lepas adalah bulan terakhir aku diam di Putatan. Oleh kerana tuntutan semasa aku memilih untuk berpindah ke kawasan kejiranan yang lebih ‘menjadi’ atau happening kata orang putih.

Kawasan kejiranan seperti Beverly Hills, bukan 90210 tapi 88300.

Di sini kejiranannya lebih meriah. Hampir dengan bandaraya juga tempat kerja. Ada kemudahan seperti kolam renang, gimnasium dan gelanggang badminton. Kedai-kedai, pasaraya dan restoran yang lebih banyak.

Juga tidak lupa populasi tinggi gadis-gadis yang menetap di kejiranan ini.

Bercakap mengenainya, seorang gadis menjadi jiran depan rumah. Kali pertama bertembung ialah ketika si gadis membasuh pinggan di dapur, terlihat dari jendela dapurnya yang terbuka luas. Kali kedua, ketika si gadis hanya ber-hot pants dan ber-baby T duduk menonton TV sambil pintu rumahnya terbuka luas.

Aku kurang pasti motif sebenar pintu rumahnya terbuka luas, melainkan barangkali untuk menjemput aku masuk. Nasib baik pintu grill-nya tertutup.

Jika kamu menyimpulkan bahawa aku adalah lelaki bertuah kerna mempunyai jiran yang indah, kamu silap. Hendak dijadikan gosip, si gadis kerap menerima kunjungan lelaki tua yang kurang tampan dari aku tapi pastinya lebih berduit.

Tapi lewat malam tadi, mereka bergaduh. Dari balik daun pintu aku terdengar si gadis marahkan lelaki tua yang sudahlah tua ganyut tapi masih lagi miang mencari perempuan lain. Akhir drama, pintu dihempas dan lelaki tua berambus keluar.

Okay, mungkin ada peluang di situ.