Minggu Lepas – Tawau
Hujung Malaysia seperti yang aku katakan. Lebih dekat dengan Indonesia dan mempunyai lebih ramai imigran Indonesia berbanding penduduk setempat.
Bukannya kali pertama ke Tawau. Tapi bezanya lawatan kali ini melalui jalan darat sambil memandu kereta sendiri. Mencabar tapi memang kaedah yang terbaik untuk mengenali Sabah lebih mendalam.
Pergi balik, semuanya 1366 kilometer. Di Semenanjung jarak sebegini tidaklah nampak mencabar, tapi itu kerana ada lebuhraya dan R&R. Tapi di Sabah ianya bermakna jalan dua lorong yang sempit, berlubang, berliku-liku, merentas gunung dan hutan banat, mencelah di sebalik lori-lori kelapa sawit dan juga Ninja King yang berlagak macam raja di jalanan.
Membuatkan aku terfikir, alangkah baiknya jika aku beli Isuzu D-Max tempoh hari, tapi terpaksalah makan mi Maggie setiap hari sebagai balasan.
Minggu Ini – Kuala Lumpur
Kota ibu kota, kota jerebu, kesesakan lalu lintas, syurga membeli belah dan juga makanan yang lazat. Seperti lazimnya orang-orang Sabah yang lain, kalau terbang ke Kuala Lumpur akan ada dua perkara yang bermain di minda.
Mahu beli belah dan mahu makan.
Oleh kerana faktor ekonomi semasa, beli belah aku tolak tepi. Mahu simpan duit untuk basikal dan yuran universiti. Harap-haraplah.
Tapi makan, ya yang ini soal hidup mati. Kita terpaksa makan untuk hidup dan kekadang hidup ini pun untuk makan juga. Jadi aku mahu jadi pelahap macam babi. Lantaklah program diet nyahtoksin. Masakan Emak dan masakan orang lain yang aku kena bayar terlalu lazat untuk aku tolak.
Asam pedas ikan terubok, gulai tempoyak ikan mayong atau sambal ikan keli dari Emak. Cendol Changkat Thamby Dollah, satay Mulia pulau Jalan Semarak, sambal belacan A Hassan Taipan, ayam kampung Bandaraya, roti canai Mak Jah Corner Ampang, nasi daun pisang dan rasam Vishal Chettinad, char kuey teow Auntie Gemuk dan pastinya William’s Kelana Jaya.
Soalan cepu mas, benarkah William itu orang Sabah?
Banyak betul yang aku mahu makan. Itu pun bukan semua aku senaraikan di atas. Oh, ada aku beritahu awal-awal mahu jadi pelahap macam babi?
Minggu Depan – Keningau
Ikut perancangan, pulang dari KL aku akan terus ke Keningau pula hari berikutnya, pandu kereta sendiri. Masuk ke pedalaman Sabah untuk urusan promosi barangan buatan Sabah.
Seriyesli, apa dia barangan buatan Sabah? Rumpai laut, halia, kuih cincin, madu lebah, baja kompos, kerepek ubi, minyak lintah dan sebagainya.
Tidak ada satu pun benda di atas yang aku minat, kecuali minyak lintah barangkali.
Agak-agak, The Flying Dusun ada tak?
Oh, kamu tidak tahu apa itu The Flying Dusun? Ke sini kamu.
Ya, The Flying Dusun turut mengeluarkan satu lagi barangan buatan Sabah, Headhunters’ Lihing.
Sepatutnya produk ini juga dipromosikan. Ianya produk asli Sabah yang bersangkut-paut dengan kebudayaan serta tradisi masyarakat di Sabah.
Oh, memang, ia jauh lebih ‘merbahaya’ dari stout yang kamu biasa minum.
Minggu Depan-depan – Tawau
Kemungkinan, masih 50-50. Kalau jadi kemungkinan pandu kereta sendiri juga. Kali ini untuk kursus integrasi bagi tanakwagu Semenanjung seperti aku dengan sumandak, maksud aku masyarakat, Sabah.
Setakat ini bos belum beri lampu hijau untuk aku pergi. Mungkin dia agak risau jika di rumah keluarga angkat aku nanti ada Lihing dan sumandak barangkali.
Minggu Depan-depan Lagi – Sandakan
Ya, aku sibuk. Ada banyak kerja di Sabah ini. Kalau tiada kerja masakan aku dihantar ke sini? Kalau jadi, ya mahu pandu kereta sendiri juga.
Sebab aku suka memandu sendiri dan menjelajah ke segenap pelusuk. Silap sikit saja tidak boleh pandu kereta ke KL.
Nampaknya sepanjang tugasan aku di Sabah selama 3 tahun nanti, mungkin lebih, habislah seluruh Sabah aku teroka. Harap-harap bukan bandar besar sahaja, tapi juga pulau-pulau sekitar seperti Sipadan, gunung-gunung seperti Kinabalu atau hutan-hutan seperti Lembah Danum. Kalau tidak kerana kerja, aku aturkan road trip aku sendiri.
Nanti kalau ada rezeki bertugas di Australia, mungkin aku beli Holden Commodore dan jelajah satu Australia juga, sampai ke Alice Springs. Atau mungkin ke United Kingdom, pandu Vauxhall VXR Astra dari Stamford Bridge ke Old Trafford.
Kalau ada rezekilah. Doa-doakan.