06 July 2009

Jiwang Pagi Senin

Terima mesej teks pagi Jumaat, dari satu nombor yang tidak aku kenali.

“Uncle sakit, masuk hospital. Heart attack.”

Mulanya tidak pasti siapa yang dimaksudkan. Tapi kemudian aku tahu Uncle yang dimaksudkan bukan salah seorang dari 13 pakcik yang aku ada, kerana mereka ini semua dirujuk dengan panggilan Pak Long, Pak Ngah, Pak Su atau selebihnya sekadar dipanggil pakcik dengan diikuti nama masing-masing.

Jadi hanya ada seorang saja yang aku rujuk sebagai Uncle.

Aku balas mesej teks tersebut dan selang beberapa minit si penghantar telefon aku.

Auntie. Yang semestinya isteri kepada si Uncle yang dimaksudkan tadi.

Berbual untuk beberapa minit, bertanya keadaan Uncle dan apa yang sebenarnya berlaku. Dari yang diceritakan keadaan Uncle agak rumit.

Aku hanya dapat menyampaikan rasa simpati kepada Auntie dan berdoa untuk mereka berdua. Mahu balik, tersangatlah jauh dan secara peribadi aku sebolehnya tidak mahu terlibat dalam kehidupan mereka lagi.

“Auntie dah beritahu L?” aku tanya, merujuk pada anak tunggal mereka.

“Belum lagi, lepas ni nanti baru auntie call dia.”

Jawapan itu buat aku terkesima. Auntie memilih untuk beritahu aku dahulu, yang bukan anak kandungnya, sebelum memberitahu anak perempuannya.

Kata Auntie lagi, Uncle yang suruh dia telefon aku dahulu.

Tujuh tahun yang lalu aku kali pertama berjumpa dengan Uncle dan Auntie, dalam keadaan yang tidak sepatutnya. Masa itu aku kantoi kerana cuba menyelinap masuk ke bilik anak gadis mereka.

Budak nakal. Nasib aku agak baik tidak kena hayun dengan iron golf Ping i3 milik Uncle. Dan sebaliknya dari dihalau dan diberi amaran untuk tidak datang lagi, aku ditawarkan pula untuk bermalam di rumah mereka. Pastinya kena tidur di bilik tetamu, bertuahlah mereka mahu bagi aku tidur di bilik anak gadis mereka, L.

Dari hari bersejarah itu hubungan aku dengan L bertambah baik dan begitu juga hubungan aku dengan Uncle dan Auntie. Oleh kerana mereka tidak mempunyai anak lelaki, aku dianggap mereka ibarat anak kandung sendiri.

Ya aku nakal tapi aku juga baik. Dari hampir-hampir dihayun dengan iron golf Ping i3 milik Uncle, aku akhirnya menghayun iron golf Ping i3 (masih milik Uncle) bersama Uncle sendiri di driving range.

Perlahan-lahan aku diterima lebih dari sekadar teman lelaki anak gadis mereka. Hatta rumah yang pernah aku terkantoi ketika cuba menyelinap masuk dulu kini terbuka luas dan sentiasa meraikan kehadiran aku.

Uncle dan Auntie yang tidak mempunyai anak lelaki barangkali merasa cukup senang dengan kehadiran aku. Lebih-lebih lagi Uncle yang pada masa itu telah disahkan menghidapi komplikasi jantung dan ditegah oleh doktor dari melakukan kerja-kerja berat.

Lalu tugas aku selain dari bertandang ke rumah untuk mengusung anak gadis mereka ke hulu ke hilir, aku juga bertanggungjawab dalam tugasan-tugasan rumah yang biasanya terletak di bahu seorang lelaki.

Macam potong rumput di laman rumah Uncle yang tersangatlah luas. Bukan kerja mudah kerana dengan menggunakan mesin rumput galas yang berat dan berbahang, kekadang kamu juga akan terjumpa bola-bola golf di sebalik semak-samun yang dicantas.

Selalunya selepas potong rumput aku akan luang masa untuk berlatih memukul bola golf, supaya bulan depan bila aku datang untuk memotong rumput lagi akan ada bola-bola golf tersembunyi di sebalik semak-samun.

Dari potong rumput hinggalah pasang paip air, tanam pokok, cuci kereta, tebang pokok, cuci akuarium dan pasang pintu.

Tidak hairanlah Uncle dan Auntie anggap aku macam anak mereka sendiri. Bukan aku berniat ada udang di sebalik mee goreng, cuma terbawa-bawa sifat aku di rumah sendiri yang memang diajar untuk buat kerja-kerja rumah.

(IKLAN: Para pembaca wanita, please form orderly queue untuk ambil borang. I wash dishes, cook and make my own drink and iron my own shirts myself.)

Maka dari sekadar menjadi teman lelaki anak gadis mereka, aku juga berubah menjadi anak angkat. Kalau lama tidak bertandang atau telefon, Auntie pasti akan telefon aku untuk bertanya khabar, menjemput datang ke rumah dengan janji-janji masakan istimewanya.

Dan Uncle, asalnya dari hanya mengajak aku ke driving range, akhirnya turut mengundang aku ke pelbagai lagi aktiviti luar rumah beliau. Seperti bermain golf di padang golf sebenar, menonton lumba kuda di turf club atau pun sekadar duduk di rumah menonton bolasepak sambil aku membantu menghabiskan stok bir beliau.

Bezanya Uncle sokong Liverpool dan aku pula Chelsea. Biasalah tu, orang veteran.

Lima tahun semenjak kali pertama bertemu di malam aku terkantoi ketika cuba menyelinap masuk ke bilik anak gadis mereka, Uncle dan Auntie memang betul-betul menganggap aku anak kandung mereka sendiri.

Aku pun tiada masalah. They are both nice to me. I respect them both.

Dan setiap kali aku bertandang mereka mengalu-alukan kedatangan aku. Sampai boleh makan tidur di rumah mereka berminggu-minggu. Jadi adatlah kalau sudah dapat tempat tinggal dan makan percuma, kenalah juga membanting tulang sedikit.

Walaupun tidak pernah dinyatakan, aku tahu Uncle dan Auntie berharap untuk aku jadi menantu mereka satu hari nanti.

Tapi kita hanya merancang, Tuhan juga yang menentukan. Selepas sekian lama dalam hubungan dengan anak gadis mereka, L berubah dan memilih untuk ikut lelaki lain.

Itu pun selepas bermacam insiden dan skandal lain yang wujud sebelum aku dan L putus.

Moral di sini, ibu bapa pasangan kamu mungkin baik dan suka pada kamu tapi itu tidak bermakna pasangan kamu begitu juga.

Aku dan L putus dalam keadaan yang sangat huru-hara. Pendek kata selepas dari itu kami anggap antara satu sama lain sebagai musuh. Sebelum ini pun aku ada juga bekas teman wanita, tapi cuma dengan L seorang saja yang putus dan kemudiannya bermusuh.

Jadi boleh bayangkan betapa palatnya insiden yang berlaku antara aku dan L.

Hakikatnya kamu perlu terus bergerak ke depan. Lalu aku pilih untuk berhenti bertandang ke rumah Uncle dan Auntie dan secara perlahan-lahan memutuskan hubungan antara aku dan mereka.

Bukan aku mahu bermusuh dengan mereka pula tapi itu cara yang terbaik supaya L tidak wujud lagi dalam hidup aku dan sebaliknya.

Selepas dimaklumkan keadaan Uncle, yang termampu aku ucapkan hanya rasa simpati dan harapan semuanya baik-baik sahaja. Mahu balik melawat? Jauh sekali. Mahu telefon kembali bertanya khabar? Sebaiknya tidak perlu.

Aku tahu Uncle dan Auntie kecewa atau sedih. Tapi macam yang aku katakan, perlu terus bergerak ke depan.

Harap-harap anak gadis mereka, L, pandai-pandailah mencari pengganti.

Aku dah malas dah.

10 komen:

Abet said...

Wow... i'm speechless... great entry!

Anonymous said...

biasanya saya menjadi pembaca senyap di blog ini. saya curious sama ada kamu ini muslim atau tidak. maaf jika soalan sensitif dijawab.

bekam said...

muslim @ x soal kelapan....

aku nak belajar cara2 xkantoi masa menyelinap bilik anak dara boleh bro??

Tenz said...

En.max.

adakah 'L' seorang amoi? ;)
em..tiapa.. maybe di sabah
ble dpt sumandak yg lg power..
manalataukan...

anon yang annoyed said...

goddd.is it so important to know his religion or whether he is pious or not?
it's between him n god.
pls save all your fikir2kan la n renung2kanlah.he's old enuff to think wats bad and wats good.

-sorry bro just had to let it out. seemed that on every other entry mesti ada comment on ppl asking abt ur keislaman atau tidak. just annoys me-

zan said...

Di sisi seorang Lucius, ada juga bau-bauan bunga..hehehe

Ko bukan sahaja berjaya menawan hati anak gadis, malahan keluarganya yang terlebih-lebih ko tawan.

Mau ko jadi Diana Ross kalau apa2 jadi kat uncle tu nanti..tetiba nama ada dalam wasiat..huhuhu

Lucius Maximus said...

abet - thanks bro

anon - saya percaya kepada Tuhan. kamu?

bekam - tak boleh, sebab aku pun terkantoi

tenz - mungkin ya, mungkin tidak

anon yang annoyed - thanks for answering on my behalf, i like ur answer :)

zan - ok la bau bunga, kalau bau ketiak sekuntum bunga pun tak dapat

afterc said...

kalau mau sama sumandak..kena mengurat beliau dia dulu..hahaha. biasa la itu. sia pun buat begitu..

Lucius Maximus said...

afterc - mo hidup bah

sumere said...

sumandak tu pe? girl ka?