05 Ogos 2008

Oh UTPians

Kamu pernah keluar dating dengan teman wanita menggunakan teksi sebagai pengangkutan? Kalau pernah, kemungkinan besar kamu dan teman wanita kamu (teman lelaki jika kamu pembaca wanita atau kamu seorang gay) akan duduk berduaan di tempat duduk belakang teksi.

Tapi pada tahun 2002 ketika aku menuntut di Arau, Perlis dan sedang memadu asmara dengan seorang gadis dari negeri utara semenanjung, aku telah diajar untuk duduk di bangku hadapan bersebelahan pakcik drebar teksi.

“You duk depan ya? Toksah duk belakang, biaq I duk belakang sorang”, kata bekas teman wanita.

Aku setuju. Walaupun agak pelik tapi mengambil kira lokasi aku berada pada masa itu, aku tahu adalah lebik baik aku duduk di sebelah pakcik drebar teksi itu, lebih-lebih lagi bila pakcik itu siap berkopiah putih.

Kewajaran berbuat begitu kerana kami bukannya berteksi dari KLCC ke Ampang, tapi berteksi dari pekan Kangar balik ke Arau. Juga bukan sebab bekas teman wanita gadis bendang dari Pendang. Dia dari Pulau Pinang yang sebenarnya, cuma kebiasaan si bekas teman wanita dengan masyarakat utara semenanjung membuatkan dia arif dengan tatasusila sebegini.

Kena ikut tempat, kata bekas teman wanita. Aku faham. Kalau di Perlis memang kami jaga ‘air wuduk dari terbatal’, tapi mai Penang kalu, berkepit macam orang baru lepas nikah.

Benda seperti tatasusila berteksi ini mungkin nampak remeh dan kecil bagi kita yang kebanyakannya liberal, moden dan berjiwa muda.

“Naik teksi kat KL, aku berkepit dengan awek kat belakang drebar teksi tak bising pun, ni takkan nak duduk berdua kat belakang tak boleh langsung?”

Betul. Tapi kalau hampa rasa kelapaq sangat nak kena ceramah ngan pakcik drebar teksi, hampa try-lah.

Itu cerita masa aku belajar di UiTM Arau dulu. Aku juga terdengar cerita, lama dulu sebelum aku belajar di sana, ketika UiTM masih bergelar ITM, kursus Sains Kesetiausahaan (Secretarial Science kata orang putih) pernah ditawarkan di Arau. Selang beberapa semester, kursus tersebut dipindahkan ke kampus lain.

Faham-faham sajalah kenapa.

Di Malaysia ini memang lumrah kalau universiti dan kolej di bina di kawasan ceruk atau tempat jin bertendang kata orang Melayu. Macam di tempat asal aku, Tronoh, yang pernah mempunyai USM dan kini UiTM dan UTP.

Lazimnya seperti mana-mana universiti, para pelajarnya pasti terdiri dari individu dengan pelbagai latar belakang serta asal-usul. Ada yang datang dari KL, ada juga yang datang dari ceruk atau tempat yang lebih banyak jinnya bertendang dari lokasi universiti mereka. Dan masalahnya ialah bila ada pemuda-pemudi kota metropolitan yang tercampak di universiti tempat jin bertendang ini.

Seperti yang berlaku di Tronoh, lebih-lebih lagi bila melibatkan pelajar UTP.

Pos Seriyesli aku sebelum ini telah mengundang perasaan tidak puas hati beberapa pelajar UTP. Aku faham perasaan kamu semua. Kita memang agak sentimental bila melibatkan sekolah atau universiti tempat kita belajar. Aku pun begitu. So those UTPians have the right to defend their UTP.

Memang betul kes pelajar termengandung juga pernah berlaku di universiti lain. Juga kes buang bayi. Kes hisap dadah, tangkap basah dan yang sejenis dengannya pun berlaku di hampir semua universiti dalam Bolehland ini. UTPians tidak perlu berasa malu, sedih atau marah dengan UTP. Seperti kata kamu semua, UTP tidak bersalah. Yang bersalah ialah si pelaku itu.

Dan kamu semua UTPians juga boleh terus berhujah tentang si pelaku sudah termengandung lama lagi sebelum beliau bergelar UTPian. Fine, bukan benih pelajar lelaki UTP sendiri. Perempuan tu dah memang jalang sebelum masuk UTP lagi. Dia yang jahat, kesilapan teknikal saja entah macam mana dia dapat masuk UTP. Betul?

Namun wajar aku ingatkan di sini bahawa isu dia mengandung luar nikah bukan perkara pokok bagi aku. Yang menjadi isu pokok kepada aku ialah si pelaku yang membuang bayinya sehingga membawa kepada ajal bayi tersebut. Kes berat. Atas sebab itu isu buang bayi, bagi aku, ialah satu isu pokok yang besar implikasinya.

Tetapi sebagai budak kampung amnya dan sebagai budak Tronoh khususnya, aku arif tentang persepsi masyarakat setempat terhadap UTP dan pelajar-pelajarnya.Dan persepsi (perception kata orang putih) ialah satu perkara yang kita semua rasa macam taik tapi tetap tidak dapat kita elakkan.

Orang Melayu bercakap, masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak. Aku tambah lagi, masuk kandang babi, pandai-pandailah samak diri sendiri. Dan pastikan foto kamu di kandang babi tidak tersebar di Internet. Parah kena hentam dengan Melayu-Melayu yang lain nanti.

Kita kena pandai menyesuaikan diri. Lebih-lebih lagi bila berada di tempat yang masyarakatnya tidak berfikiran terbuka atau liberal seperti di tempat asal kita. Kalau di KL dulu kamu selalu ke pasar malam di Bangsar pakai hot pants, janganlah pergi ke pasar malam Tronoh pakai benda yang sama. Mengucap panjang Tok Imam di Tronoh nanti.

Tapi masalah di UTP ialah ada pelajar yang jenis tidak faham kaedah menyesuaikan diri ini. Bukan semua, segelintir dari mereka. Segelintir yang jenis dari kota metropolitan, anak orang berduit dan terasa diri itu bagus sangat. Itu pun bukan semua juga, segelintir saja. Segelintir yang jenis ‘ketegaq nak mampuih!’ kalau ikut kata bekas teman wanita aku.

Dan sebab segelintir yang ‘ketegaq nak mampuih!’ inilah yang boleh membuatkan satu UTP dipandang serong. Sebab orang Melayu pun ada bercakap, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Lagi pun memang Melayu Tronoh yang sangat concern dengan perangai pelajar UTP. Cina Tronoh tak kisah sangat kalau awek UTP pakai hot pants atau student kena cekup, melainkan ada apek sayur yang mati kena gelek dengan Honda Civic EK budak UTP. Yang itu satu Tronoh bangkit.

Semua itu persepsi. Memang rasa macam taik tapi tidak dapat dielakkan. Sebab satu dua ekor yang ketegaq ini, persepsi satu Tronoh terhadap UTP boleh menjadi buruk.

Bukan aku mahu kata orang Tronoh baik-baik semuanya. Lama sebelum ada UTP lagi, memang sudah ada budak yang hisap gam, hisap dadah atau hisap puting buah dada anak gadis orang di Tronoh. Sudah ada Mat Pet, Mat Rempit dan juga Mat Thai Song. Bukan aku mahu nafikan.

Tapi satu penyakit kampung yang kita kena ingat, budaya ‘anak aku baik anak kau jahat’ masih menular. Budak Tronoh tidak reti minum Thai Song kalau tidak kerana budak UTP yang tonggang Carlsberg dulu. Itu pegangan kuat orang kampung. Tidak percaya, sila rujuk drama-drama kekampungan Melayu di televisyen kita.

Ya, mereka lebih cenderung untuk menyalahkan anasir luar. Macam drama Melayu, kalau ada celaka, mesti orang luar yang baru pindah masuk kampung dituduh membawanya.

Dan yang ini di luar bidang kuasa aku untuk mengubahnya. Aku boleh terima UTPian di luar sana yang kaki botol, seks bebas, liberal, agnostic dan apa kejadahnya lagi tapi pada masa yang sama genius, bijak serta berkebolehan mencarigali minyak di muka bumi ini selepas graduasi nanti.

Aku boleh terima, tapi orang kampung aku, susah sikitlah.

Persepsi. Rasa macam taik tapi, kau orang sambunglah sendiri.

Jadi merujuk kepada kes buang bayi itu, apa yang si pelaku lakukan dalam amalan seks beliau bukan perkara pokok bagi aku. Itu ikut suka hati dia. Yang tidak okay bagi aku ialah tindakan membuang bayi tersebut sehingga bertemu ajal, seperti mana aku tidak approve mana-mana kes buang bayi di dunia ini.

Cuma dalam kes penerimaan masyarakat setempat, memang susah. Buang bayi mungkin tiap-tiap bulan berlaku di KL. Tapi kalau di Tronoh, hebohnya lagi hebat dari berita Anwar liwat Saiful.

Dan atas kapasiti aku sebagai budak kampung amnya dan budak Tronoh khususnya, aku menulis tentang insiden buang bayi di UTP ini.

Satu, aku penulis blog yang tidak suka pada gejala buang bayi ini. Dua, aku penulis blog yang asalnya budak kampung dan pernah juga belajar di universiti tempat jin bertendang. Tiga, aku penulis blog dari Tronoh yang arif persepsi masyarakat setempat terhadap pelajar UTP.

Jackpot.

Bukan aku jatuhkan hukum ke atas seluruh UTP pun. Macam yang aku tulis sebelum ini, kes buang bayi itu yang aku tidak puas hati. Lebih-lebih lagi bila bayi itu menemui ajal akhirnya.

Bonus, aku berasal dari Tronoh. Dan aku kongsi pengetahuan aku tentang persepsi masyarakat tempatan di Tronoh terhadap pelajar UTP melalui blog aku. Supaya semua UTPians tahu. Bukan persepsi aku, persepsi masyarakat Tronoh. Itu pun bukan semua.

Ya, persepsi. Oh,pandai pun. Belum sempat aku taip kamu semua sudah sebut dalam hati.

Di Arau dulu, pantang kalau pelajar perempuan berbonceng motorsikal dengan lelaki. Walaupun pada masa itu di UiTM Shah Alam pelajar lelaki bebas mengusung teman wanita ke hulu ke hilir di atas motorsikal mereka. Universiti yang sama, lokasi yang berbeza dan cara yang turut berbeza.

Contoh untuk kamu-kamu yang ‘ketegaq nak mampuih!’. Think global act local kata orang putih. Berlakon sikitlah kalau tidak mahu kena sembur.

Aku harap UTPians di luar sana faham. Bukan aku tidak suka kamu semua. Serius, aku suka UTP. Sebab adanya UTP pasar malam di Tronoh diceriakan dengan warga Afrika dan Asia Tengah. Aku suka kepelbagaian. Perlahan-lahan kamu juga membangunkan dan membuka minda masyarakat tempatan di Tronoh.

Dan kalau tidak mahu kena persepsi yang macam taik, pandai-pandailah sesuaikan diri. Masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak kata orang Melayu.

“Masuk kandang babi, sendiri samak. Dan kalau boleh elakkan ambil foto peribadi bersama babi, kalau tidak mahu ambil risiko dimaki hamun.”

01 Ogos 2008

Seriyesli?

Aku jumpa carian pelik ini siang tadi di Sitemeter, yang membawa si pencari terus ke laman blog aku.

Memang agak berbeza dengan carian lain selama ini yang selalunya berbunyi seperti "main dengan jiran" atau "air mani gadis sunti". Lalu atas sebab itu aku terpaksa membuat carian mendalam aku sendiri kerana kalau ada makhluk yang dibuang selama ini di Tronoh, ianya hanyalah sekadar anak kucing atau anjing.

Carian yang lebih mendalam dalam bahasa Inggeris membawa aku kepada pos sebuah blog jiran (jiran kerana pautannya ada di dalam blog ini), Freedom of Association nukilan Obefiend.

Jadi si pencari dengan carian pelik petang tadi rupanya sedang membongkar kisah seorang pelajar IPT di Tronoh yang membuang mayat bayi di dalam sebuah bilik asrama (pautan Harian Metro, akhbar apa lagi ya?).

Wahlauweh!

Seriyesli?

Saspek utama aku, pastinya Universiti Teknologi Petronas di Tronoh. Bukan maksud aku IPT lain tidak berkemampuan mengamalkan seks luar nikah, tapi kalau UiTM lokasinya lebih di Seri Iskandar, bukan betul-betul dalam kawasan Tronoh.

Tapi seperti yang dikatakan, hanya sekadar saspek aku sahaja.

Apa pun, di mana ada IPT kemungkinan besar akan ada kes pelajar termengandung atau lebih teruk lagi, buang bayi. Sekalipun Universiti Islam Antarabangsa di Gombak, tidak mustahil.

Teringat aku di zaman perkhidmatan aku sebagai pembancuh air di Kafe Kopetro UTP. Mengikut warden asrama menangkap basah pasangan pelajar UTP di kawasan asrama Taman Seri Desa. Budak perempuan yang menyorok bawah katil tu, memang lawa beb.

Tapi insiden yang baru berlaku ini, memang menyedihkan. Bayi yang sudah cukup sifat, yang sudah sempurna kehadirannya di dunia ini menjadi mangsa kebebalan dan kedunguan si mahasiswi UTP itu.

Come on lah babe. Kalau dah seronok main pun, pandai-pandailah cover line. Sebagai siswi UTP, bukannya minah kilang, takkan tak pernah dengar pil atau kondom kot?

Dan kalau betullah sudah terbuncit sekali pun, carilah klinik untuk gugurkan kandungan. Tidak tahu mana gynae yang boleh membantu gugurkan kandungan? Tanya Lucius Maximus. Tidak ada duit? Pelajar UTP yang paling banyak berkereta di Tronoh, setakat RM400 apalah sangat? Atau kalau betul tidak berduit, minta pada si teman lelaki yang bertanggungjawab. Pandai buat, pandailah tanggung.

Tidak tahulah pula aku kalau ramai teman lelaki yang terlibat. Mungkin boleh suruh tong-tong kos pengguguran, at least. Heh!

Tapi pengguguran kandungan adalah jalan terakhir. Sebaliknya langkah pencegahan mesti diutamakan, sekiranya para pelajar UTP merasakan seks masih perlu sebagai aktiviti santai mereka di atas jadual universiti yang padat dan penuh tekanan.

Aku tahu tahap kebijaksanaan pelajar UTP lebih hebat dari budak UiTM seperti aku. Jadi harapan aku kes buang bayi ini yang pertama dan terakhir di UTP atau Tronoh.

Bagaimana pun, sejarah sudah tercipta. UTP is super well rounded now, kata Obefiend. Aku tambah lagi, balai polis Tronoh juga sudah ada penambahan terbaru dalam kepelbagaian kes jenayah mereka, kes buang bayi, selain dari kes curi motor kapchai atau curi kerbau.

Dan akhir sekali, penduduk tempatan Tronoh juga kini mengenali UTP sebagai universiti pelajar buang bayi, bukan setakat universiti yang ada ramai pelajar berkereta, memandu laju di Jalan Ipoh-Lumut dan melanggar sampai mati penduduk setempat yang berbasikal atau motor kapchai di jalanraya.

Seriyesli!