25 November 2007
Kenang Daku Dalam Doamu
Sila isi masa lapang dengan membaca blog ini.
Oh, hampir terlupa. Buat yang sudah berkahwin saja, ya?
21 November 2007
Hati Malaya Yang Sebenar Ialah 10 Tahun Sebelum Merdeka - 2
15 November 2007
Hati Malaya Yang Sebenar Ialah 10 Tahun Sebelum Merdeka
"Aku macam tak percaya kau sanggup bayar tiket wayang untuk tengok filem Shuhaimi Baba!"
Sundal. Aku tidak keluar satu sen pun untuk tengok filem itu. Pontianak Harum Sundal Malam pun aku tengok percuma, itu pun sebab Astro Ria tayang raya yang lepas. Itu pun sebab aku dah sangap tidak tahu mahu tengok apa lagi.
Dua minggu lepas aku diheret secara paksa ke KLCC oleh emak dan akak yang begitu excited mahu menonton filem lakonan Maya 'Pontianak' Karin, Sharifah 'Oked' Amani, Adlin 'Sultan Mahmud' Aman Ramli dan Rusdi 'aku-tak-tahu-watak-filem-apa' Ramli.
Nasib baik tiket wayang, tiket parking dan lain-lain tidak perlu dibayar. Itu pun aku masih rasa rugi teramat sangat. Malam aku tonton 1957 : Hati Malaya adalah malam yang sama Chelsea tapau Manchester City 6-0!
Gila punya rugi besar. Bukan senang mahu tengok Shevchenko jaringkan gol. Once in a blue moon kata orang putih.
Tapi sebab menjalankan kewajipan sebagai anak dan adik yang baik hati, aku terpaksa tonton filem itu. Masuk panggung, lebih banyak kerusi kosong dari penonton. Kira-kira tidak sampai 20 orang pun.
Dan bosannya jangan cakaplah. Nasib baik ada Maya Karin dan Sharifah Amani untuk aku terus bertahan. Kavita Sidhu kira boleh tahan jugalah, walaupun sudah agak berumur.
Selepas 17 kali menguap, 11 kali curi-curi jeling teman wanita lelaki lain dan 21 mesej teks dihantar pada kawan-kawan, akhirnya tamat juga penyeksaan batin aku menonton filem Shuhaimi Baba.
Tidak perlulah aku ulas di sini. Ia hanya filem berdasarkan buku Sejarah Malaysia tingkatan lima, ditambah sedikit elemen dramatik sebagai perencah tambahan. Kamu semua sudah tahu.
Sejarah seperti apa yang dicatatkan oleh mereka yang mahu ianya disejarahkan.
Tapi jika kamu mahu versi yang berbeza, yang alternatif, tontonlah Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka, filem merangkap dokumentari arahan Fahmi Reza. Ini sejarah seperti apa yang dicatatkan oleh mereka yang tidak punya kuasa untuk mensejarahkan ia. Sejarah yang tidak wujud dalam buku Sejarah Malaysia tingkatan lima kamu.
Cukup sekali untuk aku tonton 1957 : Hati Malaya. Kalau hari raya tahun depan ianya ditayangkan pun aku lebih rela duduk di luar rumah, mencuci kereta, main mercun atau kejar ayam di halaman rumah.
Tapi untuk 10 Tahun Sebelum Merdeka, aku akan tonton untuk 10 tahun lagi, dan 10 tahun lagi, dan lagi, dan lagi.
14 November 2007
Universiti Islam, Perbankan Islam Dan Akan Datang... Kereta Islam!
13 November 2007
Bersih 1, Kotor 0

Perhimpunan Sabtu lepas adalah satu kejayaan untuk Bersih. Seperti yang aku tulis sebelum ini, walaupun gagal mencapai angka 100,000 rakyat berhimpun di Dataran Merdeka seperti yang diharapkan penganjur, namun penyerahan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong (YDPA) berjaya dilakukan.



Hanya empat ribu mengikut kata akhbar perdana. Ada nampak macam empat ribu? Budak sekolah pun tahu ianya lebih dari empat ribu.

12 November 2007
Internet Serius Macam Sial
Nasib baik Internet di pejabat aku berpusat pada bapa segala server di Singapura, lancar seperti perkhidmatan pengangkutan awam di pulau singa itu.
Kalau betul ini kerja askar-askar siber kerajaan yang tugasnya menggodam, tahniah! Kamu memang hebat.
Tidak mahu tutup Astro sekali? Atau mungkin boleh sekat siaran Al Jazeera, CNN dan BBC. Apa kata kita tayang balik semua konsert Akademi Fantasia yang lepas, dari nombor satu hingga yang terkini sebagai ganti?
Macam sial.
11 November 2007
Tapi Semalam Aku Terasa Diriku Ibarat Ferdinand Marcos
Kerana semalam selepas jalan-jalan Kuala Lumpur lengang dari trak-trak FRU, semburan air, gas pemedih mata dan juga manusia-manusia kuning (bukan orang Digi); aku pula makan malam di Grand Ballroom sebuah hotel mewah. Menikmati kerapu pisang masak masam manis, sup sirip ikan jerung dan pelbagai lagi juadah lain yang namanya dalam bahasa Inggeris cukup pelik hinggakan aku sendiri tidak termampu hendak terjemahkan dalam bahasa ibunda. Itu semua, ditambah lagi dengan tarian gelek Arab sebagai hiburan.
Ya, seperti Ferdinand Marcos sedang makan malam di Istana Malacanang sambil menikmati parti hedonisme sementara rakyat Filipina hidup merempat sekitar Manila tahun 80-an.
Juadah yang lazat, wanita-wanita berpakaian cheongsam atau kebaya ketat, sesuai dengan tema Traditional Night kami; sambil menghirup bergelas-gelas beer Tiger membuat aku hampir terlupa dengan apa yang berlaku siang tadi di Kuala Lumpur.
(Tiger, jenama beer dari Singapura itu untuk bertahun lamanya menjadi beer rasmi syarikat setiap kali jamuan, sesuai dengan tradisi Temasek kami.)
Sehinggalah mesej teks dari seorang kenalan aku terima, bertanya tentang bagaimanakah caranya hendak menghilangkan kesan-kesan kurang enak akibat dari gas pemedih mata.
Manalah aku tahu. Tahun 1998 ketika aku dihambat polis di sekitar Masjid Jamek, aku masih cukup licik untuk mengelak dari menjadi mangsa gas pemedih mata mereka. Berlari dari Dataran Merdeka, masuk ke Jalan Tun Perak dan kemudian tersungkur di depan Wisma Lee Rubber. Tetapi sempat bangun dan masuk ke dalam bangunan itu sebelum canister gas pemedih mata yang pertama jatuh beberapa meter dari tempat aku tersungkur.
Ironinya, enam tahun kemudian, hari ini aku berkerja dengan bank Singapura itu yang pernah menjadi tempat aku berlindung dari abang-abang FRU.
Jadi aku tiada pengalaman terkena gas pemedih mata, atau tembakan meriam air dan juga cota kayu abang FRU. Nasihat terbaik yang aku boleh berikan pada kenalan yang tidak bernasib baik itu, cuci mata kamu dengan air dan minum sebanyak mungkin.
Perhimpunan Bersih semalam berakhir dengan jayanya. Jaya bagi aku merujuk pada matlamat utama perhimpunan itu, iaitu menyampaikan memo kepada Yang Dipertuan Agong. Itu telah tercapai. Cuma yang tidak berjaya dicapai ialah sasaran penganjur untuk mengumpulkan 100,000 individu dalam perhimpunan tersebut.
Puncanya kerana sekatan jalan raya menggila yang dilaksanakan dengan penuh jayanya oleh pihak polis. Jaya di sini pula bagi aku merujuk pada kehadiran pegawai polis hampir di setiap jalan raya dan lebuh raya ke Kuala Lumpur. Badan keselamatan yang pernah mengadu tidak cukup anggota itu tiba-tiba cukup kaki dan tangan semalam untuk memeriksa setiap kenderaan yang menghala ke Kuala Lumpur.
Bersandarkan sekatan jalan raya yang menggila itu Mingguan Malaysia hari ini dengan tenang melaporkan Perhimpunan Bersih tidak berjaya kerana hanya 4,000 orang yang hadir untuk berdemonstrasi. Tetapi pengamatan dari mereka yang hadir mendakwa sekurang-kurangnya 40,000 individu hadir. Angka yang sama juga disebutkan oleh rangkaian berita Al Jazeera.
Wartawan Utusan sama ada rabun atau tidak pandai mengira.
RTM pula rilek-rilek melaporkan dalam berita Warta Jam Dua mereka tentang Perhimpunan Bersih tidak mendapat sambutan kerana tiada siapa yang hadir. Satu jam kemudian dalam satu lagi slot berita terkini RTM dilaporkan pula tentang pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang menganjurkan perhimpunan itu sedang makan dan berehat di Kelab Selangor.
RTM jelas mahu melaporkan Perhimpunan Bersih telah gagal. Warta Jam Enam mereka langsung tidak menyebut apa-apa tentang perhimpunan tersebut. Sekaligus mengaburi pakcik dan makcik di desa yang tiada Internet ataupun langganan Astro.
Tetapi menjelang malam Al Jazeera, CNN dan BBC sudah sibuk melaporkan tentang perhimpunan itu berserta rakaman video mereka. Laman web seperti Youtube sudah penuh dengan rakaman video amatur oleh mereka yang hadir.
Cuma Google 'bersih' sudah cukup.
RTM, Utusan dan kerajaan mungkin terlupa ini bukan 1998. Hari ini hampir setiap orang ada kamera digital atau telefon bimbit berkamera, komputer riba dan Internet jalur lebar di rumah. Itu semua dan ditambah dengan laman web Blogger dan Youtube.
Pulang dari jamuan tahunan syarikat sekitar jam 12, aku singgah di Masjid Jamek, mahu keluarkan duit dari mesin ATM di pejabat. Keadaan sekitar cukup bersih, tiada sampah sarap atau kesan huru hara. Macam tiada apa yang berlaku.
"Kecoh petang tadi bang?". Aku tanya Abang Jaga yang matanya merah. Tidak cukup Kopi Jantan.
"Gila punya kecoh! Orang ramai lari masuk dalam bangunan ni. Nasib baik pintu kaca tak pecah. FRU pulak sembur air sampai masuk ke dalam. Habis kotor dan bersepah kat luar tu."
Aku tersenyum. Macam tahun 1998 pula. Mungkin ada seorang budak muda, berumur 20 tahun yang juga lari masuk ke dalam bangunan ini. Siapa tahu, satu hari nanti mungkin dia juga akan berkerja di bangunan ini. Deja vu.
Aku tengok pintu masuk, ruang legar dan kaki lima bangunan. Semuanya nampak bersih dan teratur. "Tapi luar ni bersih je bang?"
"Budak-budak cleaner Indon tu dah cuci petang tadi. Kesian dia orang, kena kerja lebih masa lah pulak." Jelas Abang Jaga. Menguap.
Efisien. Bukan Abang Jaga, tapi cleaner Indon kami. Efisien seperti mana mereka selalu memastikan tandas pejabat kami bersih dan tisu tandas sentiasa ada.
Aku menguap. Jangkitan dari Abang Jaga. "Okay bang, gerak dulu ye."
Masuk kereta dan pandu pulang dengan perut yang penuh diisi kerapu pisang, sirip ikan jerung sambil minda berfantasi wanita cheongsam serta kebaya ketat, aku terlihat beberapa kereta peronda polis di sekitar Masjid Jamek dan Dataran Merdeka. Masih bertugas dan bersedia untuk sebarang kemungkinan.
Terlalu ramai polis, tidak seperti malam-malam lain yang sentiasa tidak cukup polis sehingga jenayah mudah berleluasa.
Kelakar.
10 November 2007
Maaf, Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua
Dua insan email aku pagi tadi dan seorang lagi menghantar SMS, bertanya sekiranya aku turun berdemonstrasi di Perhimpunan Bersih. Dua dari tiga individu itu aku cukup kenal, tetapi seorang lagi yang bertanya melalui email aku tidak pasti siapa. Tidak mustahil ejen-ejen Abang Besar dari Bukit Aman yang cuba menyamar untuk memerangkap spesis rakyat Malaysia yang tidak cintakan keamanan.
Email dari individu tidak dikenali itu bertanya jika aku turun petang ini, beliau ingin sangat berjumpa. "You are young and who knows you can be the next Tian Chua, leading the young Malaysians to embrace the wind of change."
Isk, terharunya aku. Gila babi terharu.
Aku pernah berdemonstrasi dan berhimpun tahun 1998 dahulu di zaman Reformasi. Pernah juga berjumpa Tian Chua di Dataran Merdeka dan pernah berlari masuk ke Masjid Negara akibat dikejar FRU. Tapi aku bukan pendukung Reformasi, sebabnya pada pandangan peribadi aku Reformasi bangun atas sebab individu. Terlalu ramai yang bersuara pada tahun 1998 itu sebenarnya bersuara kerana Anwar Ibrahim bukan lagi Timbalan Perdana Menteri mereka.
Bukannya aku ada apa-apa masalah perbadi dengan Anwar. Cuma kalaulah anak gadis Anwar, Nurul Izzah balas cinta aku pada tahun 1998 itu, mungkin hari ini keadaan sudah berubah. Mungkin Anwar Ibrahim sudah kembali menjadi Perdana Menteri dan Dr. Mahathir hidup dalam buangan di Arab Saudi.
Tapi Nurul Izzah tolak cinta aku. Kalau dia terima dan balas cinta aku mungkin Reformasi bertukar jadi Revolusi. Dan kami bercinta di sebalik tsunami revolusi yang tersebar ke seluruh negara. Mungkin aku jadi seperti Leon Trotsky, Ketua Tentera Merah Soviet yang berjuang atas nama Revolusi Bolshevik itu.
"Kau Trotskyist, kau komunis, Papa tidak setuju jika kita bersama." Jawab Nurul Izzah kepada aku di suatu petang ketika kami di Dataran Merdeka.
"Tapi komunisme ialah jawapan terbaik untuk Malaysia. Sebuah negara yang menjadi syurga proletarian untuk semua." Aku cuba memujuk.
"Perjuangan Papa berlandaskan Islam, dia mahu bina masyarakat madani dan sebuah negara Islam yang progresif, seperti dalam buku The Asian Renaissance tulisan Papa. Mana mungkin itu semua diadunkan dengan komunisme kamu, sayang."
Nurul Izzah cuba memujuk. Silap dia bertudung dan berbaju kurung. Kalau tidak mungkin di tengah padang di Dataran Merdeka itu juga aku sudah peluk cium anak gadis sunti itu.
Lima minit kemudian, gerombolan FRU menyerbu para pejuang Reformasi. Semuanya bertempiaran lari, mengelak dari kena palu dengan cota kayu FRU. Aku terpisah dari Nurul Izzah, perpisahan untuk selamanya.
Aku lelaki yang mendung dengan kekecewaan. Cinta aku gagal di sebalik perjuangan untuk satu revolusi yang juga gagal. Anwar Ibrahim dicekup ejen-ejen Abang Besar dan disumbat masuk ke penjara. Barisan Alternatif kecundang di tangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya 1999. Dr Mahathir terus berkuasa dan akhirnya berundur dengan penuh hormat beberapa tahun kemudia.
Nurul Izzah? Dengarnya dia berkahwin dengan seorang lelaki pendukung Reformasi, tapi langsung tidak revolusioner seperti aku. Aku malas mahu ambil tahu. Aku lelaki yang mendung dengan kekecewaan.
Maka hari ini biarlah aku mengasingkan diri dari Perhimpunan Bersih itu. Bukan budaya kita kata RTM. Tapi aku mengasingkan diri bukan kerana percaya semua dakyah kerajaan itu.
Aku mengasingkan diri kerana kecewa. Aku tidak mahu pisang berbuah dua kali. Takut nanti jika berhimpun lagi ada pula anak gadis pemimpin politik lain yang jatuh cinta dengan aku.
Kena pula kalau anak gadis Nik Aziz Nik Mat yang sangkut dengan aku. Lagi huru-hara rasanya.
Lagi pun petang ini aku ada jamuan tahunan syarikat di Hotel Mandarin Oriental. Kamu yang sudah bekerja, kena pula di syarikat asing, pasti tahu apa itu jamuan tahunan syarikat. Bagi yang masih belajar dan belum bekerja, biar aku beritahu.
Jamuan tahunan syarikat = bergelen beer percuma yang mengalir tanpa henti, peluang menari dan memeluk bos-bos wanita kamu yang termasuk dalam kategori MILF dan juga peluang beraksi nakal bersama teman sekerja wanita kamu yang sudah terlebih dos beer mereka.
Apa kamu mahu aku lupakan itu semua untuk satu perhimpunan politik di tengah padang dan kemungkinan di tangkap polis?
Rugi besar.
08 November 2007
Dasar Mayang Menolak Seludang
Supremo Propaganda Negara, Zainuddin Maidin acapkali mengeluh tentang para penulis blog yang tidak bekerjasama dengan kerajaan dan selalu menulis hasutan-hasutan revolusi yang menggugat keselamatan negara. Tidak berterima kasih, tidak mengenang budi. Kerajaan yang prihatin ini sudah buat bermacam perkara untuk kesejahteraan rakyat Malaysia tapi para penulis blog masih lagi mahu membangkang, memprotes dan mengentah apa lagi.
Dasar tidak mengenang budi! Mayang menolak seludang.
Semenjak awal minggu ini Selamat Pagi Malaysia di RTM1 tidak henti-henti menyeru rakyat Malaysia yang cintakan keamanan untuk memboikot Perhimpunan Bersih yang akan dianjurkan esok, 10 November 2007, jam 3 petang. Pengacara di RTM berbuih mulut mengulang gesaan kerajaan yang prihatin agar setiap lapisan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan agar tidak berhimpun pada hari Sabtu esok.
Bukan budaya kita, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, katanya. Lihat apa yang terjadi di Pakistan itu. Habis mati tergolek orang-orang Pakistan akibat letupan bom ketika demonstrasi mereka berlangsung. Kitakan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan? Mana mungkin rakyat yang cintakan keamanan bangun memberontak kerajaan yang prihatin?
Fikirkanlah. Malaysia hari ini, kata Pak Lah, adalah antara negara terhebat di dunia. Terima kasih pada kerajaan yang prihatin, dibarisi pula dengan pemimpin yang pragmatik, purata pendapatan per kapita rakyat Malaysia hari ini melipat 26 kali ganda berbanding tahun 1957 dahulu. Begitulah katanya di Majlis Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Kerajaan yang prihatin dan pemimpin yang pragmatik. Maksudnya Barisan Nasional. Cap Dacing kata orang-orang kampung aku.
Jadi ada apa dengan Perhimpunan Bersih esok? Satu ratus ribu rakyat khabarnya akan berhimpun. Perhimpunan beramai-ramai untuk mencuci kain? Mahu cipta rekod baru untuk Malaysia Book of Records? Sebab itukah dinamakan Perhimpunan Bersih?
Perhimpunan esok tidak ada kena mengena dengan Fab, Harimau Kuat ataupun Ekonomi Handalan. Ia bukan perhimpunan 100 ribu rakyat Malaysia untuk mencuci kain beramai-ramai dan mencatatkan satu lagi rekod untuk Malaysia Book of Records. Ia perhimpunan tanda desakan rakyat yang mahukan pilihan raya telus dan adil, dan mungkin berarak ke Istana Negara untuk menyampaikan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong.
Itu pun kalau Agong ada di Istana Negara.
Tidak pun lebih kurang 4,000 polis yang dilaporkan bakal berada di Dataran Merdeka esok tidak menghalang perarakan tersebut.
Tapi untuk sebuah negara bernama Malaysia yang cintakan keamanan dan dipimpin oleh kerajaan yang prihatin, perlukah ini semua? Bukan budaya kita, kata RTM dalam Selamat Pagi Malaysia.
Jadi terpulanglah, mahu pergi atau tidak. Trankuiliti Tronoh tidak pernah langsung menghasut mana-mana rakyat Malaysia yang cintakan keamanan untuk menghadiri Perhimpunan Bersih esok. Trankuiliti Tronoh menyahut seruan kerajaan yang prihatin. Blog jangan menghasut rakyat memberontak, memprotes dan mengentah apa lagi.
Zam, aku sudah jalankan tugas. Bila mahu tawarkan jawatan Pengarah RTM itu pada aku?
Aku mahu Surprise! Butseckz!! semua pengacara wanita yang muda di RTM.
07 November 2007
Bro, Kau Mesti Ingat, Hanya UMNO Boleh Selamatkan Melayu Dan Lindungi Islam
Hari ini dalam perjalanan pulang dari kerja, aku singgah di PWTC. Jumpa kawan lama di zaman universiti dulu, yang minggu lepas teks pada aku tentang kedatangannya ke Kuala Lumpur. Jadi perwakilan Pemuda UMNO katanya.
MAR sudah duduk menunggu aku di sebuah kafe yang menjual kopi mahal, lengkap dengan seluar hitam dan baju batik keemasan. Nasib baik bukan baju melayu. Kalau tidak, layu.
Niat aku jumpa MAR cuma satu, berjumpa kawan lama. Niat MAR jumpa aku serampang dua mata, jumpa kawan lama dan cuba jemput aku masuk UMNO. Biasalah tu, Nik Aziz pun pernah cuba ajak aku masuk PAS. Tapi sebab aku beli baju SDN, Nik Aziz ubah fikiran.
"Orang macam kau, Maximus, boleh naik dalam politik. Betul aku cakap ni."
Aku tak suka cium lubang bontot orang lain. Dalam hati, tapi yang keluar lisan, "Aku tak minat sangatlah dengan politik."
"Banyaklah tak minat kau. Aku bukannya tak kenal kau. Dulu masa belajar pun, kau juga yang paling politik antara kita semua," MAR cuba nak jack aku pula.
"Itu dulu, sekarang dah kurang. Biasalah zaman muda, kita semua idealis. Dah tua ni, aku lebih realis dari idealis." Cubaan menangkis yang agak lame.
"Sebab kau realistik yang buat aku nak kau masuk UMNO. Orang macam kau boleh jadi harapan untuk bangsa kita. Kita kena ada ramai tenaga muda dengan cara pemikiran baru. Agenda Melayu kita, nak bangunkan bangsa Melayu yang terpelajar dan berjaya."
Hampeh la kau MAR. Memang tak sia-sia kau belajar marketing. Aku sengih. Kalau sudah lebih 50 tahun pun UMNO masih kata orang Melayu perlukan hak-hak istimewa, perjuangan apa jadahnya?
"Aku kenal kau. Aku tahu orang macam kau. Kau cepat faham masalah masyarakat, masalah sosial. Dan kau selalu ada jalan penyelesaian, kau pandai cari jalan untuk bangunkan bangsa Melayu kita." MAR tambah lagi. Persuasion.
Fakta, entah berapa ramai anak gadis Melayu aku bangunkan pemikiran mereka dari kemelayuan kepada kemodenan, kebaratan dan hedonisme. Yang pakai tudung tukar jadi rambut perang pun ada. Yang lidah pandai mengaji tiba-tiba bertindik lidah pun ada. Habis lari semua tajwid.
"Entahlah MAR, aku sibuk dengan kerja, tak ada masa nak aktif dalam politik ni. Kau lain lah, ada business sendiri. Aku kerja dengan orang lain, makan gaji." Aku cuba berdiplomatik. Tapi dalam hati, bukan kau ke yang ratah budak perempuan satu kuliah dengan kita dulu. Anak peneroka Felda tu. Habis satu semester kau cari awek lain, eksperimen baru kata kau.
"Kau join je UMNO dulu. Masuk parti ni, selain dari berpolitik, boleh juga jadi peluang atau jalan untuk kita berniaga. Kerja sendiri. Nanti bila kau dah established, mesti dapat peluang punya!"
Aku jeling beg bimbit hitam MAR. Sah. Mesti ada borang keahlian untuk aku dalam beg itu.
"Tengok macam aku. Alhamdulillah senang hidup. Kau pun ada rancang nak kerja sendiri kan? Bukan dulu kau pernah cerita nak buka stesen minyak? Kau kena ada kabel, baru senang nak mula perniagan sendiri. Tapi nak ada kabel, mesti masuk UMNO dulu. Baru senang pasang."
Aku sengih lagi. Duduk diam dengar hujah-hujah MAR tentang UMNO dan perjuangan suci parti itu, juga tentang senangnya hidup sebagai kroni UMNO. Sambil hirup cappucino ehsan dari poket MAR yang pemurah.
"Aku tak berapa yakin dengan perjuangan UMNO." Ayat escapism aku. Satu percubaan untuk aku balik rumah secepat mungkin sebelum aku muntah cappucino di khalayak ramai dek kerana ceramah UMNO ehsan dari mulut MAR yang tidak boleh diam.
"Bro, engkau mesti ingat, hanya UMNO boleh selamatkan Melayu dan lindungi Islam." MAR berhujah.
Bro, kalau budak-budak Melayu sendiri yang nak jadi rempit, merempit kat Bulatan Pahang tu sampai tunggang terbalik, aku peduli apa. Mereka yang bodohkan diri sendiri. Aku tak ada masa nak jadi Nabi selamatkan mereka semua. Bawa keluar dari zaman jahiliah Melayu mereka. Natural selection kau tahu? Yang dungu akan pergi dulu. Biar bumi ini tinggal yang pandai dan berguna sahaja. Sekali lagi, dalam hati. Aku malas hendak berdebat di kafe kopi mahal ini.
Tiga gadis Puteri UMNO tiba dan duduk di meja sebelah. Seorang bertudung tapi yang dua lagi tidak. Salah seorangnya berambut perang. Jenis yang rajin cucuk langit di Zouk.
"Lagipun kalau kau masuk UMNO, adalah peluang nak kenal dengan budak-budak Puteri UMNO." MAR senyum. Entah macam mana dia tahu aku tertarik dengan puteri-puteri di sebelah. Radar dia dapat kesan apa yang radar aku sedang perhatikan.
"Kau tak tahu berapa ramai budak-budak Puteri yang menarik dalam UMNO. Boleh kelabu mata jugalah." MAR buat product placement. Cuba meletakkan Puteri UMNO sebagai pakej tambahan untuk aku masuk UMNO.
"Kau ni, berjuang untuk bangsa ke berjuang untuk mengorat puteri-puteri UMNO?"
Saja aku nak sindir MAR. Sebenarnya kalau masuk UMNO bermakna boleh orgy dengan para puteri masa perhimpunan agung nanti, aku pun mahu.
"Macam ni lah Maximus. Aku ada meeting dengan Datuk A sekejap lagi. Kalau in the next few days I'm free, I give you a call. Boleh kita jumpa lagi, pergi makan ke."
Selamat. Aku pun ucap terima kasih pada MAR, sebab belanja cappucino. Tidak ada terima kasih untuk ceramah politik beliau. Dah nak termuntah aku dibuatnya.
Sebelum balik aku sempat toleh ke arah meja sebelah, tempat tiga puteri sedang bersantai sambil minum kopi jenama mahal. Dan di saat itu si rambut perang, pencucuk langit Zouk itu tergelak sakan sambil menjelir lidah. Sekilas aku terperasan bebola logam di atas lidahnya.
Lidah bertindik!
MAR, borang keahlian tu. Simpankan untuk aku satu ya?
Selamat Hari Deepavali
- Rig-Veda, Book 10, Dream-charm.
Selamat Hari Deepavali untuk para pembaca yang menganuti Hindu. Aku tahu sekurang-kurangnya ada seorang.
Ya machaa, aku bercakap tentang engkau. Walaupun kau sendiri jarang-jarang mengaji kitab Veda kamu, heh!
Jangan minum Tiger banyak sangat, nanti tergolek lagi macam tahun lepas.
06 November 2007
Persundalan Agama 2
Majoriti umat Islam di Malaysia menerima pendidikan agama secara formal melalui sistem persekolahan untuk tempoh 11 tahun. Pendidikan Islam diterapkan melalui guru-guru agama bertauliah yang digelar ustaz dan ustazah, yang menggunakan buku teks agama acuan pihak berkuasa sebagai modul pengajaran. Ilmu keagamaan diberikan dengan penekanan yang lebih kepada fardhu ain berdasarkan mazhab Shafie yang merupakan mazhab rasmi di Malaysia.
Selain dari itu adalah sesuatu yang normal untuk kanak-kanak Islam dihantar mengaji oleh ibu bapa, bermula dari asas seperti muqaddam dan kemudiannya Al Quran itu sendiri sehingga khatam. Kelancaran pembacaan dengan tajwid yang betul ditekankan, berserta dengan kepentingan untuk khatam atau tamat mengaji kesemua 30 juzuk Al Quran secara ideal sebelum tamat sekolah rendah.
Apa yang pelik tapi tidak dipedulikan sangat oleh mereka ialah kepentingan untuk memahami isi kandung Al Quran dan juga persoalan kenapa dalam tempoh 11 tahun bersekolah, para pelajar tidak diajar secara terus melalui Al Quran?
Dan ini semua berlaku di sebalik status kitab suci umat Islam yang diberikan pada Al Quran?
Aku pernah mengajukan soalan kenapa kita tidak belajar terus dari Al Quran kepada seorang ustaz ketika di tingkatan dua. Dan jawapan yang diberikan oleh ustaz tersebut berbunyi begini:
"Kita tidak boleh belajar terus dari Al Quran kerana kita tidak berpengetahuan tinggi dan tidak berkelayakan. Orang biasa tidak ada kepakaran untuk mentafsirkan Al Quran."
"Tapi kita masih boleh baca tafsir dan fahami maksud Al Quran", aku cuba berhujah.
"Ya betul, tapi ente mesti ingat, baca tafsir saja tidak cukup. Mesti tahu bahasa Arab. Sebab itu ente semua mesti belajar dari buku-buku agama tulisan ulama-ulama dahulu. Sebab mereka ada kepakaran, mereka sudah kaji Al Quran. Tapi untuk jadi pakar mesti ada kelayakan, mesti belajar sampai tanah Arab, macam ana."
Aku dengar dengan kagum. Ustaz ini sudah belajar sampai ke tanah Arab. Sudah pandai berbahasa Arab dan ada kelayakan sebagai cerdik pandai agama.
Tapi itu dahulu. Kemudian aku mula bertanya, jika Al Quran itu mukjizat sepanjang zaman dan ianya tercipta untuk setiap manusia, kenapa ustaz itu mengatakan kami para pelajar tidak layak untuk memahaminya, cukup sekadar baca terhangguk-hangguk tapi tidak faham?
Ketika di tingkatan tiga aku terjumpa sebuah buku di perpustakaan sekolah yang membincangkan perbezaan antara mazhab. Tertarik dengan isi kandung buku tersebut aku lantas bertanya kepada seorang lagi ustaz yang mengajar aku ketika itu.
"Ustaz, dalam Sunnah Wal Jamaah ada empat mazhab, kenapa kita mesti ikut mazhab Syafie sahaja dan bukannya mazhab yang lain?"
"Sebab mazhab Syafie adalah mazhab untuk umat Islam di Malaysia, lagipun adalah lebih baik untuk kita mengikuti mazhab Syafie dari mazhab-mazhab lain."
"Jadi orang Islam di Arab yang mengikuti mazhab lain tidak sebaik kita di Malaysia?", aku bertanya lagi.
"Buku apa yang ente baca ni?"
Aku memberitahu ustaz tersebut tentang buku yang aku baca di perpustakaan sekolah. Beberapa hari kemudian, buku tersebut tersenarai sebagai Kod Merah, maksudnya buku yang dikawal dan tidak boleh dibaca tanpa kebenaran pihak sekolah.
Aku juga diberi kaunseling oleh ustaz tersebut. Setiap orang Islam mesti bertaklid pada satu mazhab sahaja kerana individu tersebut tidak ada kepakaran dan kelayakan untuk berijtihad pada pelbagai mazhab, katanya.
Itu semua pengalaman aku di sekolah agama. Tiga tahun mendalami ilmu agama dan bergantung pada tafsiran setiap individu, aku melihat institusi keagamaan Islam yang sebenar. Jahil, sesat dan tidak berpedoman pada pandangan golongan agama dan konservatif, barangkali. Liberal, kritis dan terbuka pula pada pandangan mereka yang mungkin juga dilabel sebagai jahil, sesat dan tidak berpedoman oleh pihak yang kamu cukup arif.
Islam sebagai agama pada hari ini tidak jauh bezanya dengan institusi gereja yang pernah meletakkan Eropah dalam Zaman Kegelapan. Kita ditekankan dengan fahaman bahawa segala yang berkaitan dengan Islam hanya boleh dibincangkan oleh mereka yang layak dan pandai dalam bidang agama. Mereka yang telah bertahun-tahun belajar di tanah Arab, pandai cakap Arab dan telah mentelaah ratusan kitab-kitab agama tulisan imam-imam mujtahid dahulu kala.
Umat Islam secara amnya dihalang dari berijtihad, kerana ketetapan yang mereka perolehi berkemungkinan bertentangan dengan apa yang telah termaktub dalam kitab-kitab agama dahulu kala. Kita disuruh bertaklid, iaitu mengikut apa yang telah termaktub dalam kitab agama tulisan imam mujtahid itu.
Tiada persoalan, kerana apa yang telah ditetapkan oleh para imam mujtahid itu betul dan benar. Untuk meragui dan mempersoalkan imam mujtahid samalah seperti meragui kepercayaan kita terhadap kebenaran Islam.
Akibat ketaksuban terhadap kitab agama ini, Islam hari ini sebahagian besarnya terbentuk dari kitab-kitab agama tersebut dan dicorakkan dengan pandangan para pakar agama berkelayakan yang digelar ulama. Dan kita pula diajar bahawa untuk memahami Al Quran mestilah melalui kitab-kitab agama. Melalui penerangan dan pandangan cerdik pandai agama yang telah mengkaji Al Quran beribu tahun dahulu.
Umat Islam secara realitinya tidak pernah mempelajari Al Quran, mereka hanya disuapkan dengan ilmu keagamaan oleh cerdik pandai agama dan kemudiannya diajar bahawa untuk tidak mempersoalkan apa yang telah diajar.
Begitu benaknya umat Islam terhadap Al Quran dan betapa cerdik pandai agama sebenarnya tidak menggunakan Al Quran dalam memberikan hujah mereka, dapat dilihat dalam laman web Jakim. Beberapa soalan yang bertanya tentang ayat Al Quran manakah yang mengatakan anjing itu haram disentuh dijawab oleh pihak Jakim dengan hanya merujuk kepada hadis. Salah satu jawapan untuk soalan yang sama pula merujuk surah al-Baqarah ayat 173 dan surah Al-Maidah ayat 3. Sila buka tafsir Al Quran kamu dan baca tafsiran untuk dua ayat tersebut.
Okay, siapa cuba bodohkan siapa?
03 November 2007
Pak Lah Dapat Bunga, Polis Yang Kaya Raya Dan Najib Terima Soalan Maut
"Kau tak tulis pasal kes Pak Lah dapat bunga?"
"Awak nanti mesti tulis pasal polis yang ada berjuta-juta duit tu, kan?"
Tidak semestinya. Bukan semua isu aku akan karutkan di sini, kalau mahu pun, belum tentu aku ada masa untuk menulis.
Tapi sebab ada yang bertanya, eloklah aku kupaskan sedikit.
Baguslah Pak Lah dapat bunga, maknanya dia masih ada ramai peminat. Belum pernah Malaysia mempunyai Perdana Menteri yang kematian isteri ketika masih dalam jawatan, jadi duda sementara waktu dan kemudian berkahwin lain. Aku faham, mesti masih ramai wanita-wanita lain di luar sana yang pernah dan masih mengharap merekalah sepatutnya menjadi pengganti Endon.
Kepada kakak yang memberi bunga, tahniah kerana hajat anda telah tercapai. Kepada Pak Lah pula, terimalah dengan ikhlas dan jangan lupa fikirkan penerangan terbaik untuk diberikan pada Jeanne Abdullah nanti. Isteri mana yang tidak cemburu bila suami terima bunga dari wanita lain?
Tetapi kepada mereka yang bertanggungjawab di atas soal keselamatan pada majlis itu, cepat-cepatlah update resume kamu semua.
Turut memenuhi ruang hadapan akhbar-akhbar di Malaysia (kecuali Harian Metro) minggu ini ialah Pengarah Jabatan Pungutan Yuran Perlindungan Bapa Ayam, Tauke VCD Cetak Rompak dan Ah Long; Ramli Yusoff yang popular kerana ranking beliau sebagai salah seorang anggota polis terkaya di Asia, jika tidak di dunia.
Ramli yang merasakan beliau dijadikan kambing hitam oleh pihak polis dan dianiaya oleh BPR kini didakwa atas tuduhan rasuah dan kegagalan mengisytiharkan harta beliau, mungkin barangkali terlupa kerana senarai hartanya tersangatlah panjang.
Bagaimanapun jika sabit kesalahan dan digugurkan dari jawatan, Ramli Yusoff masih mempunyai modal yang cukup untuk memulakan perniagaan syarikat perkhidmatan keselamatan berdasarkan pengalaman beliau sebagai pegawai polis antara yang terkaya di Asia, jika tidak di dunia.
Pekerja boleh diambil dari kalangan bekas penjaga keselamatan yang gagal menghalang seorang wanita Malaysia memberikan bunga kepada Perdana Menteri Malaysia di sebuah majlis yang gilang-gemilang itu.
Tidak berapa ditonjolkan pula ialah kisah Najib Tun Razak berucap di kota Paris baru-baru ini tentang bagusnya pemimpin-pemimpin negara kepada komuniti Malaysia di sana. Akhbar New Straits Times melaporkan dengan ala kadar tentang soalan maut seorang rakyat Malaysia kepada Najib.
Versi lain yang dihantar kepada aku melalui email pula melaporkan individu tersebut, seorang pelajar berasal dari Pulau Pinang, mempersoalkan ucapan Najib sebelum itu yang mendakwa kejayaan Malaysia hari ini hasil dari kepimpinan bijaksana para pemimpin negara dari dahulu hingga kini (baca: politikus-politikus Barisan Nasional).
Turut dibangkitkan oleh pelajar itu tentang gejala rasuah yang menular dan juga jurang pendapatan Malaysia yang sangat ketara. Najib dilaporkan terdiam dan akhirnya menjawab ringkas bahawa Malaysia dipimpin oleh pemimpin yang pragmatik lagi bernas, dan hasilnya ialah komuniti Malaysia di Perancis yang berjaya dalam bidang mereka.
Tidak pula dilaporkan jika ada rakyat Malaysia dalam komuniti tersebut yang menjawab sama ada mereka berhijrah ke Perancis kerana kejayaan dan kekayaan Malaysia atau kerana kesempitan dan ketiadaan peluang untuk berjaya di Malaysia.
01 November 2007
Yahoo Tidak Lagi Me-Yahoo-kan Hidupku
Terima kasih Cik Sharina kerana melaporkan konspirasi jahat Yahoo untuk mengekang sebarang email yang dihantar oleh gadis-gadis manis khusus untuk aku.
Patutlah email pengesahan dari Facebook juga aku tidak terima.
Aku syak ini ada sangkut paut dengan bekas teman wanita yang berniat dengki untuk menghapuskan sebarang peluang untuk aku berkenalan dengan gadis-gadis manis lagi bijaksana di luar sana.
Ya, mereka yang tahu menilai intan dan membezakannya dari kaca. Bukannya yang sudah dapat teman lelaki alfa moden dan terbuka, tapi masih mahu buang masa dengan lelaki cauvinis, patriarkis dan seksis.
Selepas itu kena sepak dan tampar, hilang kebebasan dan tiada hidup sendiri. Dan akhirnya terhegeh-hegeh mahukan aku kembali.
Maaflah, sudah bosan. Padan muka kamu!
Okay aku agak tersasul. Sila ambil perhatian alamat email terbaru aku. Sudah bosan dengan Yahoo, masa untuk Gmail.
Cik Sharina, sila tuntut majlis santapan malam romantik anda secepat mungkin. Gadis-gadis yang lain, sila hantar email segera untuk angka giliran kamu.
Lelaki, kita pergi minum sudahlah.