30 October 2007
Gerak Khas Yang Tidak Menjadi
Ya, salah satu aksi tembak menembak filem Hollywood yang paling hebat pernah dihasilkan.
Atau jika kamu rajin menonton saluran History Channel (555 di Astro) maka kamu pastinya pernah menonton dokumentari Shootout!. Salah satu episod dokumentari tersebut memaparkan insiden North Hollywood Shootout, sebuah peristiwa rompakan bank yang berlaku di Hollywood pada tahun 1997.
Di dalam filem Heat atau insiden North Hollywood Shootout, para perompak bank dilengkapi dengan senjata api berat dan sekaligus mempunyai kuasa tembakan yang lebih berbanding pihak polis. Tetapi di dalam filem dan juga kejadian sebenar yang berlaku, pihak polis Los Angeles (LAPD) akhirnya berjaya menewaskan para perompak walaupun setelah ramai anggota polis yang tercedera dalam tembak menembak.
Malaysia pula baru-baru ini kehilangan dua anggota polis dalam satu operasi serbuan ke atas satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa di Sungai Buloh. Diceritakan pasukan polis hanya dilengkapi senjata api ringan tanpa sebarang perlindungan seperti baju kalis peluru. Tabloid sensasi Harian Metro juga turut melaporkan perihal seorang anggota polis yang cabut lari dikejar penjenayah bersenjata hingga ke hujun jalan taman perumahan.
Setelah heboh satu negara tentang operasi polis ditumpaskan penjenayah, kecohlah semua pihak dan berbagai isu pula timbul. Operasi dilakukan tanpa sebarang pengetahuan pihak atasan, kata pegawai-pegawai polis berpangkat besar yang mungkin selama ini pun tidak ambil peduli tentang kerja orang bawahan mereka.
Perdana Menteri Malaysia yang selalu naik Proton Perdana, Pak Lah pula melenting dan menyalahkan pihak polis yang katanya, tidak merancang dan buat cukup persediaan sebelum operasi dijalankan. Katanya lagi dengan penuh bijaksana sebagai seorang pemimpim Islam Hadhari, "pengedar dadah sudah tahu jika mereka ditangkap, mereka akan dihukum mati. Jadi pihak polis sepatutnya tahu pengedar dadah ini akan melakukan apa sahaja untuk melarikan diri dari ditangkap."
Termasuklah membunuh anggota polis jika perlu.
Lentingan Pak Lah dijawab pula oleh Taiko Polis Negara, Musa Hassan yang berhujah kematian dua anggota polis tersebut adalah kerana mereka tidak memakai baju kalis peluru ketika menjalankan operasi. Lalu Musa juga mengadu tentang wang peruntukan yang tidak cukup untuk membeli baju kalis peluru yang cukup untuk semua anggota polis walaupun setelah kerajaan mengaku ada wang yang cukup untuk hantar seorang lagi angkasawan, mungkin kali ini untuk makan gulai tempoyak di ISS.
Musa juga turut mengeluh kerana tidak menyangka disebalik undang-undang Malaysia berkenaan senjata api yang ketat ya amat, si pengedar dadah masih boleh memiliki senjata api untuk melawan anggota polis. Mungkin sebelum operasi dijalankan, pihak polis meramalkan si pengedar dadah hanya bersenjatakan lastik atau sumpit semata-mata.
Membantu menjawab persoalan yang bermain di dalam kepala Musa, Timbalan Menteri untuk Kementerian Tangkap Blogger dan Sumbat Masuk ISA, Johari Baharom dengan penuh bangganya keluar Buletin Utama pada 26 Oktober. Johari yang prihatin dan tahu serba serbi tapi tidak berbuat apa-apa, mendedahkan tentang mesin pengimbas di Bukit Kayu Hitam yang sudah 2 tahun rosak dan masih belum diganti. Dan sebab itu katanya, sangat mudah membawa masuk senjata api dari negara jiran.
Tidak ada pula wartawan yang bertanya kepada Johari kembali, jika sudah tahu mesin pengimbas rosak, beliau sebagai menteri tidak bolehkah berusaha untuk buat apa yang patut sebelum ini.
Selepas insiden North Hollywood Shootout, pegawai penyiasat LAPD pergi ke rumah perompak yang telah ditembak mati untuk mencari lebih bahan bukti. Di sana mereka terjumpa sebuah pita rakaman filem Heat, ditonton oleh kedua-dua perompak itu sebelum melakukan rompakan mereka.
Para pegawai penyiasat LAPD percaya filem tersebut mungkin menjadi sumber inspirasi untuk mereka merompak menggunakan senjata api berkuasa tinggi.
Tidak mustahil juga pengedar dadah Sungai Buloh yang menang pertempuran baru-baru ini pernah menonton filem Heat dan mendapat inspirasi dari filem tersebut. Lalu mereka bawa masuk senjata api dari negara jiran di utara, apa lagi setelah mesin pengimbas di sana rosak pula.
Yang pastinya mereka tidak membuang masa menonton drama Gerak Khas arahan Yusoff Haslam, kerana jika kamu pernah tonton Gerak Khas, kamu mungkin perasan jika tembakan dilepaskan dan peluru terkena kereta, tidak akan ada lubang tembakan pada kereta tersebut.
Atau mungkin polis kita yang ambil inspirasi dari drama Gerak Khas.
Megah Benor Teman Jadi Rakyat Tuanku
Ceghite bertajuk Sultan Azlan speaks out antare lainnye menyebut pase teguran Sultan Azlan ateh sistem kehakiman dan perundangan negare keme semue yang udoh tunggang-langgang adenye semenjak cerite pase rakaman video yang heboh bebenor tu.
Kome yang rajin bace dan paham base orang putih, bace le sampe abih teks ucapan sultan teman tu.
Surathabor jenis yang kena tambat dengan kerajaan, macam The Star, ade le nulih sikit, itu pun muke surat 12. Biase le deme.
Juge ditulih dek oghang surathabor The Sun tu, pase maklum balas dari Tukang Buat Kecoh dari Pejabat Pak Lah, Mohammed Nazri Abdul Aziz atau lebih glamornye Nazri Aziz, yang dulu pernah keghoje jue permit teksi kate oghang kampung teman.
"We respect the opinions. The government has its perception [about the state of judiciary], but we listen."
Terjemahannye untuk oghang kampung teman yang fail perikse base orang putih mase UPSR dulu: "Kalau udoh Sultan Azlan cakap kami kene le dengor, tapi dengor je le ye? Apekehenye kerajaan nak ngikut cakap sultan pulak?"
Nazri Aziz kate lagi, "I agree the public [must have confidence in the judiciary]. But what is the public? The public means a thousand people or the whole nation?"
Maksudnye kome: "Setakat deme budak-budak loyer nak berarak kat Putrajaya tak kose teman nak layan. Udah le dulu deme ngaji kerajaan yang bayornye. Senang ceghite kite tunggu je pilihanraye nanti, kalau ghame yang mangkah BN, maknanye deme tak kisah le."
Iye le tu. Ajenye benor cakap Nazri Aziz tu, setakat oghang kampung macam teman ni, ape le nak kisah sangat sape jadi hakim, sape jadi loyer. Teman masuk mahkamah pun baru due kali je, satu pase tanah pusake arwah Atuk teman yang Tok Sedare teman (yang gile babi kayenye!) nak rebut tu, satu lagi kes bekas girlfriend teman kene tangkap basah ngan boyfriend baru die.
Kalau tak mangkah BN, tak dapat pulak subsidi baje nanti ye?
Tapi teman tetap megah jugak dengan sultan teman tu. Ate, bukannya selalu mike sume dapat dengor raja yang berhujah gune ake. Bukan setakat pase kehakiman dengan perundangan je, pase persefahaman antare kaum, kepentingan membasmi rasuah dan memacam lagi le kate deme, pernah dikate oleh sultan negeri teman tu.
Udah pulak tu anak Sultan Azlan, Raja Nazrin tu pun punye le gelige otaknye. Dengo ceghite ngaji kat Harvard kate deme. Mase nikah dengan Tuanku Zara Salim hari tu, idak pun kecoh macam kahwin Datuk K dengan Siti Nurhaliza tu. Belanje pun idak le sampe membazir kate deme, paling-paling pun bagi anak yatim makan, kate deme le.
Tak kisah le, Tuanku Zara pun lawo orangnye, pande pulak cakap orang putih, takde le benak macam si Siti Nurhaliza tu.
Teman yang sebenornye takde le berkenan sangat dengan sultan-sultan ni. Tapi elok benor le jugak bile sultan yang memimpin gelige otaknye dan bijaksane. Baru le takde tunggang-langgang negeri dibuatnye. Kalau tak, tumpo kome!
Ceghite pase Sultan Azlan dengan Raja Nazrin, teringat teman zaman sekolah agama kat Bota dulu. Mase Hari Penyampaian Hadiah dan Sijil, Raja Nazrin berkenan le mencemar duli datang melawat. Ate pengetua (yang udah tue!) kat sekolah teman tu heboh le nyuruh budak sekolah beghator tepi jalan, nak menyambut Raja Muda katakan.
Dari mulut cikgu base orang putih teman, Raja Nazrin tak setuju. Iye le, apekehenye dia nak datang melawat, budak sekolah pulak kena beghator tepi jalan, tengah paneh pulak tu? Disuruhnye le budak sekolah duduk je dalam dewan, nunggu dia sampe. Selamat teman dari sunburn.
Heh, Daulat Tuanku!
29 October 2007
Persundalan Agama
MFI, lelaki Melayu dalam lingkungan 50-an, berkahwin dan mempunyai 3 anak dara (tapi tidak pasti masih dara atau tidak) sedang lantang mempertikaikan tentang temuramah wartawan Utusan dengan 'Abang Long' Perlis Indera Kayangan (atau Darul Sunnah?!), Shahidan Kassim, yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia semalam (atau kelmarin mengikut istilah Orang Utara).
Jika kamu baca Mingguan Malaysia semalam, kamu pasti tahu tentang isu yang dipersoalkan. Jika tidak, sini untuk maklumat lebih lanjut.
MFI jelas tidak bersetuju dengan hujah-hujah Shahidan Kassim dan amalan-amalan agama yang dipraktikkan di negeri kecil itu. Amalan seperti tidak membaca doa qunut ketika sembahyang subuh, tidak berdoa selepas sembahyang, tidak membaca talkin, tidak membaca Yassin di malam Jumaat, tidak bertahlil dan sebagainya. MFI bagaimanapun tidak pula mempersoalkan syarat-syarat berpoligami di Perlis yang lebih terbuka.
Jelas sekali protes MFI bersandarkan pada prinsip bahawa orang Melayu Islam di Malaysia mengamalkan mazhab Syafii dan secara tradisi mempraktikkan amalan berdoa qunut ketika sembahyang subuh, berdoa selepas sembahyang, membaca talkin, membaca Yassin di malam Jumaat dan juga bertahlil dan berkenduri arwah.
Pada pandangan MFI orang-orang Melayu di Perlis sudah menyimpang dari mazhab Syafii, sudah terikut dengan ajaran Wahabbi yang meluas di Arab Saudi.
Pada pandangan aku pula, ini semua tidak lebih dari persundalan agama. MFI yang sudah berumur dan juga taksub dengan kepercayaan seperti sembahyang terawih mesti cukup 24 rakaat adalah mangsa didikan agama yang disogok oleh ustaz dan ustazah semenjak di bangku sekolah.
Kita semua tahu di Malaysia agama Islam dikuasai orang-orang Melayu. Ustaz dan ulama kebanyakannya dari bangsa Melayu dan mereka sejak kecil sudah sebati dengan kepercayaan mazhab Syafii. Maka jenama Islam yang rasmi dan diterima pakai di Malaysia ialah Islam bermazhab Syafii yang disulami dengan adat dan tradisi Melayu.
"Mana boleh sembahyang subuh kalau kamu tak hafal qunut?"
- Ustaz aku semasa di darjah enam.
"Mestilah kena buat kenduri arwah dan baca tahlil. Kena buat 3 malam berturut-turut"
- Emak aku selepas aku mengeluh pada dia aku penat berkenduri semasa arwah Atuk meninggal pada tahun 2000.
"Ziarah kubur tak bawa buku Yassin? Bacalah Yassin, sedekah untuk Atuk!"
- Opah aku, marahkan aku sebab datang sehelai sepinggang menziarah kubur arwah Atuk hari raya yang lepas.
Kalau mahu sedekahkan bacaan Yassin, di rumah pun boleh. Kalau aku di New York sekali pun, masih boleh sedekahkan bacaan Yassin. Tapi sudah jadi kepercayaan dan tradisi turun-temurun, sudah sebati dengan ajaran mazhab Syafii yang disogokkan, orang-orang Melayu mesti pergi kubur dan baca Yassin di sana.
Mungkin sebab mereka takut jika baca di rumah, Yassin yang disedekahkan tidak sampai, atau tersalah hantar ke kubur orang lain?
Ustaz aku semasa di darjah enam yang bermati-matian mengatakan sembahyang subuh aku tidak sah kerana tiada bacaan qunut, tidak pula menegur pak Arab di Mekah yang juga tidak baca qunut semasa sembahyang subuh semasa beliau menunaikan haji.
Dan memang ramai cerdik pandai agama, ustaz dan ustazah, ulama alim 'si pewaris Nabi' di Malaysia hari ini yang tidak puas hati dengan cara Perlis mempraktikkan Islam. Hanya kerana ia tidak mengikut acuan mazhab Syafii seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Persundalan agama.
Jam 9.15 pagi, MFI masih lagi berceramah kepada sekumpulan pemakan nasi lemak di bilik pantri.
"Bang, dah pukul 9.15 ni, waktu kerja mula pukul 9 kan?"
Ya, aku bos untuk MFI. Sebab aku yang berkuasa, MFI mesti ikut mazhab bekerja aku. Mula kerja tepat pada masanya, bukan lambat seminit dua.
Oh ya, ibadat itu bukan sekadar terawih 24 rakaat, doa qunut atau baca Yassin di kubur, bekerja itu, ibadat juga!
25 October 2007
Kopi Pahit Dan Teh Yang Kelat
Entah macam mana tiba-tiba Malaysia kehabisan gula. Tiba-tiba ladang tebu di Perlis gagal menghasilkan gula. Dan kita semua terpaksa minum kopi pahit dan teh yang kelat.
Tetapi eksport gula negara tetap berterusan. Pada kadar 100 metrik tan sebulan untuk sebuah syarikat memproses gula. Gula dijual ke luar negara kerana di Malaysia, harganya terkawal. Lebih untung jual di luar dari dalam negara sendiri.
Itu satu kelebihan untuk aku yang bekerja di sebuah institusi kewangan, berurusan dengan pelanggan-pelanggan korporat dan terlibat dalam perdagangan antarabangsa. Kelebihan untuk melihat realiti sebenar di sebalik apa yang digambarkan.
Pada masa itu bekalan gula sebenarnya lebih dari cukup. Tetapi para pengilang gula lebih gembira menjual gula di pasaran luar kerana harga yang lebih tinggi. Itu punca kopi kamu pahit dan teh kamu kelat rasanya.
Maka semalam bila seorang pelanggan korporat yang terlibat dalam industri membuat dan menjual kepala paip mengeluh tentang ekonomi negara yang lesu, aku percaya. Mana tidak, jika dulu si penjual kepala paip boleh jual puluhan ribu kepala paip sebulan di dalam negara, kenapa sekarang hanya ribu-ribu sahaja?
Kepala paip mungkin satu benda yang remeh. Yang kita selalu terlepas pandang. Tapi rumah mana yang tidak guna kepala paip? Tandas mana yang tidak ada kepala paip?
Si penjual kepala paip percaya, jualannya merosot kerana industri pembinaan negara tidak pesat seperti dahulu. Dan katanya, itu petanda ekonomi negara yang lesu.
Itu pendapat peribadi si penjual kepala paip. Tapi kalau businessman sudah mengeluh, aku ambil peduli. Tambahan bukan si penjual kepala paip sahaja yang agak pesimis, pelanggan korporat yang lain juga begitu. Ekonomi, kata mereka, tidak sehebat dulu.
Secara lisan aku bersetuju, percaya dan cuba pura-pura tunjuk sedikit simpati. Tapi di dalam hati aku berkata, padan muka kamu kapitalis! Heh!
Minggu lepas harga setong minyak mentah naik ke paras melebihi USD90. Rekod baru. Seorang sahabat yang pulang beraya nun jauh di utara beritahu harga sekeping roti canai di kampung sudah naik 70 sen. Alasan mamak empunya kedai, harga tepung sudah naik.
Aku faham sangat. Pengilang tepung pasti akan beri alasan terpaksa bayar lebih untuk import tepung gandum. Sebab kapal yang bawa tepung caj lebih untuk pengangkutan. Dan tuan punya kapal pula beri alasan, terpaksa bayar lebih untuk minyak kapal.
Tauke minyak tingkatkan harga minyak. Tuan punya kapal tingkatkan harga pengangkutan. Pengilang tepung tingkatkan harga tepung. Mamak roti canai, tingkatkan harga roti. Jadi apa yang kita semua boleh tingkatkan?
Tingkatkan produktiviti. Dan berharap dapat kenaikan gaji.
Tidak lama nanti harga gula di pasaran luar pasti naik kembali. Dan para pengilang gula lebih gembira menjual di luar dari dalam negara sendiri. Kerana harga gula kita dikawal.
Lalu kita semua bakal minum kopi pahit dan teh yang kelat sekali lagi.
Tidak apa, kurang risiko kencing manis.
24 October 2007
Hari-Hari Aku Pergi Neraka, Melihat Betapa Seronoknya Kehidupan Di Sana
Ya, memang aku pernah tulis dalam blog aku tentang blog kamu yang kurang menyengat. Tapi bukan aku yang bilang, kawan aku yang bilang. Bagi aku blog kamu masih menyengat seperti selalunya. Tidak apalah jika kamu mahu sengat kepala botak aku. Tapi cuma sengat kepala botak yang di atas, bukan kepala botak yang di bawah. Yang di bawah itu khas untuk kaum Hawa sahaja.
Tapi betul kata kamu, AKAB. Blog kamu hak milik kamu dan kebebasan kamu untuk tulis apa sahaja. Kita bukannya jual majalah atau suratkhabar, mahu ikut kehendak pembaca. Siapa suka, baca. Tidak suka, pergi main jauh-jauh. Atau, masuk bilik dan sengat sendiri kepala botak kamu yang di bawah.
Ada faham?
Dan SDN masih menyengat. Malah terlebih sengatan dengan pengenalan perkhidmatan baru bernama Tanya Abang Neraka. Boleh buat Cik Sri Siantan hilang pekerjaan satu hari nanti. Mungkin satu hari nanti aku juga akan unjurkan masalah peribadi aku ke SDN.
Kalau Abang Neraka tidak boleh jawab sepenuhnya dalam SDN, kita boleh bincang di Planet Hollywood juga. Jangan risau AKAB, had kredit aku RM10 ribu, berapa jag Carlsberg kamu boleh teguk dengan kredit sebanyak itu? You do your own math.
Bercakap tentang kebebasan menulis di blog sendiri, aku teringat tentang satu e-mel yang pernah aku terima tidak lama dahulu. Nukilan seorang pembaca prihatin saat aku tukar Tronoh Tranquility ke Trankuiliti Tronoh, yang mahukan aku kembali menulis dalam bahasa penjajah.
Aku jawab pertukaran bahasa pengantar mungkin sementara. Aku beritahu membaca di dalam bahasa Melayu bukanlah susah sangat. Aku bukannya bersastera pun. Dan aku juga bebas untuk menulis di dalam bahasa yang aku suka.
Jawab si pembaca prihatin, dia tinggal di Amerika Syarikat dan tidak faham bahasa Melayu sepatah haram pun!
Binawe!
23 October 2007
Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Tahniah! Nasibmu Tidak Seperti Laika
Tapi kamu berjaya pulang dengan selamat setelah 10 hari di angkasa raya, beraya di sana dan terus-terusan ditanya soalan bodoh oleh Nizal Mohd dan pemimpin negara lainnya. Soalan tentang reaksi orang Rusia dan Amerika bila makan nasi impit dan sate ayam, soalan tentang bagaimana rasanya beraya di angkasa.
Aku juga pasti kamu tertekan dengan tugasan seperti menggantung Jalur Gemilang di ISS, ataupun memakai pakaian seragam Angkasawan dengan lakaran Jalur Gemilang yang besar melintang di dada kamu. Dan keperluan untuk sentiasa tersenyum dan melambaikan tangan bila ada sidang video.
Aku tidak salahkan kamu jika kamu rasa seperti badut. Aku pun pernah kena. Berdiri tengah panas di zaman sekolah dulu, mengibarkan Jalur Gemilang di tepi jalanraya bila si menteri lalu naik kereta Mercedes berhawa dingin. Cermin tinted lagi. Satu jam aku tunggu si menteri di tepi jalanraya, hanya untuk dia melintas di depan aku tidak sampai 5 saat.
Itu semua sebahagian dari pengorbanan kita untuk negara.
Sekarang kamu sudah balik. Tunggu bila kamu pulang ke Malaysia, kerajaan bilang mahu arak kamu keliling negara, pergi ke sekolah dan bercerita tentang pengalaman kamu di angkasa. Aku harap mereka tidak suruh kamu bercakap tentang rasanya makan nasi impit dan sate ayam di angkasa.
Aku bangga dengan kamu, ikhlas. Bukan calang-calang orang dapat terbang ke angkasa. Aku tahu kamu serius dengan eksperimen sains kamu di atas sana. Malang pengacara seperti Nizal Mohd lebih suka berbincang tentang raya di angkasa raya.
Tidak apa. Yang pasti kamu pulang nanti mesti dapat anugerah. Jangan risau, Malaysia ada banyak Sultan yang mahu sambut Hari Keputeraan mereka.
22 October 2007
Lemang Dan Ketupat Fasa 2
Raya itu sebulan, tidak kira jika kamu berpuasa sebulan atau seminggu atau pun satu hari. Itu falsafah kebanyakan orang yang aku kenali, termasuklah rakan sekerja ASK yang mula berkerja hari ini.
"Kau bila nak buat open house, aku tak puas raya lagi ni!" sapa ASK pagi tadi.
Aku tahu puasa ASK tahun ini tidak cukup. Ramadhan ke-3 dia bawa balik KFC ke rumah, lapar sebab lupa sahur katanya. Ramadhan ke-15 dia hisap rokok di tangga laluan kecemasan, tekanan kerja katanya. Ramadhan ke-25 dan 26 pun dia tidak puasa, yang ke-25 sebab bekas teman wanitanya buat 'kerja-tiup' ke atas ASK, yang ke-26 sebab dia lupa untuk mandi wajib kemudiannya.
Tapi raya bagi ASK, mesti cukup satu bulan. Aku tak kisah. Islam Hadhari pun tak kisah sangat aku rasa.
Lemang dan ketupat fasa 2 ialah fasa berhari raya di Kuala Lumpur. Pergi ke majlis rumah terbuka yang pastinya lebih gah dari pergi berhari raya di rumah Tok Wan di kampung. Apalah sangat bahulu Tok Wan jika dibandingkan dengan kambing panggang bergolek di majlis rumah terbuka pengurus besar aku tahun lepas?
Belum pun panas punggung aku di Kuala Lumpur jemputan rumah terbuka sudah diterima. Tiga jemputan dari sahabat handai dan satu jemputan gah oleh sebuah badan koperasi yang bakal menganjurkan majlis rumah terbuka di sebuah hotel. Itu baru hari pertama di Kuala Lumpur. Belum campur lagi acara kambing panggang bergolek tahunan di majlis rumah terbuka pengurus besar.
Satu bulan yang penuh dengan acara gastronomik!
Dan juga peluang untuk menjeling gadis-gadis Melayu berkebaya ketat yang hadir di majlis rumah terbuka, makan nasi impit dan cucuh Marlboro Light kemudiannya. Aku faham, seminggu di kampung bermakna baju kurung labuh dan tiada Marlboro Light.
"Gila kau, duduk kampung kenalah control sikit, depan mak ayah aku tu, adik-beradik lagi," ujar rakan perempuanku yang berkebaya ketat di majlis rumah terbuka pengurus besar tahun lepas, tangan kiri memegang segelas sirap, tangan kanan pula sebatang rokok, dan sepinggan saki baki ketupat di atas meja.
Rakan-rakan lelaki juga sudah ramai mengeluh dahaga. Bukan dahaga sirap hari raya, tapi dahaga Carlsberg dan saudara-maranya. Sekali lagi ASK paling menonjol,
"Sebulan puasa aku tak minum, campur seminggu raya kat kampung lagi. Jom lah, aku dahaga ni!"
"Aku puasa lagi, puasa enam", aku cuba mengelak.
"Banyaklah puasa enam kau! Jom lah, lepak minum dekat bar, aku belanja. Atau kau nak aku buat open house hujung minggu ni, jamu lemang dan rendang daging sekali dengan Carlsberg?"
Lemang+rendang daging+Carlsberg? Kau dah hilang akal? Bahaya kombinasi tu!
Lemang Dan Ketupat Fasa 1
Seperti tahun-tahun sebelumnya aku masih lagi sebahagian dari populasi Kuala Lumpur di hari terakhir Ramadhan. Beli baju melayu di Masjid India senja Ramadhan terakhir, dapat diskaun 20%. Taktik lumrah aku setiap kali raya menjelang. Kalau beli tengah malam mungkin dapat diskaun 50% kot?
Bertolak pulang ke Tronoh lebih kurang jam 2.30 pagi bersama kucing kesayangan, Leo, yang mulanya hendak aku tinggalkan di SPCA, tapi atas desakan emak dan kakak yang teringin beraya bersama Leo, terpaksalah aku bawa pulang. Nasib baik lebuhraya tidak sesak atau Leo melepas di dalam kereta. Berkat puasa 30 hari!
Sampai di rumah, aku terus masuk bilik dan tidur. Bangun lebih kurang jam 10.30 pagi, yang pasti aku dah terlepas sembahyang raya (yang memang telah dirancang), mandi, pakai baju melayu yang aku baru beli semalamnya dan mula menjamah lemang, ketupat dan rendang telagi-lagi yang terhidang.
Lebih kurang jam 1.00 petang, perut dah kenyang, mata dah mengantuk, jadi apa lagi? Tidur.
Terjaga hampir jam 7.00 petang, 1 Syawal telah hampir berlalu dengan aku tidur kekenyangan sambil berpakaian baju melayu yang aku baru beli semalamnya.
Tiada tetamu yang datang di hari raya pertama, sesuatu yang aku dan ahli keluarga cukup raikan. Lebih masa untuk kami bersama sekeluarga, lebih peluang untuk menonton TV dan lebih banyak lemang atau ketupat yang boleh aku makan.
Raya semenjak usia meningkat adalah lebih bermakna untuk aku bila semua ahli keluarga berkumpul bersama. Malaslah hendak berjalan menziarah rumah orang, makan kuih raya yang entah apa namanya dan entah apa rasanya atau minum air sirap bergelas-gelas.
Lagi malas hendak menyambut saudara-mara yang aku sendiri pun tidak kenal. Kena pula yang bertandang dengan budak-budak kecil yang hobinya menaburkan serbuk biskut tart nenas di atas permaidani dari Parsi milik emak aku. Lepas itu dengan penuh yakin bersalam cium tangan dengan aku bila mahu beransur. Heh, hendakkan duit raya ya? Jangan harap!
Tapi itu semua tahun lepas. Tahun ini, jumlah saudara dan mereka yang mengaku saudara bertandang ke rumah jatuh secara mendadak. Aktiviti menziarah pun aku langsung abaikan. Duduk rumah diam-diam, cuti seminggu, bila lagi nak melepak di kampung?
Raya yang langsung tidak seperti raya. Tapi aku suka, raya yang penuh trankuiliti (dan semua lemang atau ketupat untukku).
Berkat puasa 30 hari!
12 October 2007
11 October 2007
Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Sudahkah Kamu Bertemu Laika, Maksud Aku, Roh Si Laika?
Lebih dari 10 tahun dahulu, di sekolah agama tempat aku menuntut ilmu (dan mempersoalkan beberapa pandangan sempit agama) terbaca oleh aku sebuah buku tentang Yajuj dan Majuj (Gog and Magog), tulisan seorang ulama dan pakar hadis, diterbitkan sekitar awal 80an.Antara penerangan tentang Yajuj dan Majuj mengikut pandangan ulama tersohor itu ialah mereka ini dipenjara dengan dinding yang dibina oleh Iskandar Zulkarnain (Alexander the Great). Yajuj dan Majuj adalah bangsa yang tidak percayakan Tuhan, maka mereka melepaskan anak panah ke langit untuk membunuh Tuhan dan melompat gembira tatkala melihat anak panah itu jatuh semula ke bumi, berwarna kemerahan.
Si ulama tersohor yang juga agak kreatif itu mengambil analogi tersebut dan menyamakannya dengan Soviet Union ketika itu. Bangsa komunis itu memang tidak percayakan Tuhan, telah pun berjaya melepaskan roket Soyuz ke angkasa (roket=anak panah) yang kemudiannya bila kapsul Soyuz itu pulang ke bumi, berwarna kemerahan kerana haba yang amat panas. Dinding binaan Iskandar Zulkarnain itu pula disamakan dengan pergunungan Ural yang merintang Siberia.
Memang kreatif. Peliknya Amerika Syarikat yang juga sudah sampai ke angkasa tidak pula digelar Yajuj dan Majuj.
Semalam selepas tumbangnya Soviet Union, selepas Afghanistan bebas dari Soviet tapi dijajah pula oleh Amerika dan selepas Malaysia menjadi sekutu rapat Rusia dan pembeli senjatanya, Angkasawan kita akhirnya berlepas ke angkasa dengan jaya.
Seorang umat Islam Hadhari naik ke angkasa tumpang roket golongan Yajuj dan Majuj? Aku ingin sangat berjumpa ulama tersohor yang kreatif itu jika dia masih hidup.
Apa pun, malam semalam sambil menjamah ayam KFC aku menonton TV melihat perlepasan Misi Soyuz TMA-11 yang membawa Angkasawan negara pertama.
Boleh tahan juga semangat patriotik aku, yang pernah juga menonton siaran langsung Pendakian Everest dan Pelayaran Solo (Berbantu) Azhar Mansor tidak lama dahulu.
Walaupun sebenarnya menonton siaran langsung acara propaganda dan 'naik-nama' kerajaan adalah satu insult to my intelligent mind.
Nizal Mohammed di saluran 588 Angkasa1 milik Astro sangatlah tidak bersedia, gagap dan mudah tersasul. Astro juga turut menemu ramah rakyat Malaysia seperti seorang pemandu bas Metro yang berkata, "Jika saya yang bekerja pemandu bas ini sudah teruk, jadi dia yang bekerja sebagai angkasawan memandu roket mesti lebih teruk".
Jangan tanya, aku pun tidak faham apa yang cuba disampaikan.
Juga turut bersuara seorang awek bertudung yang sedang beli baju raya di Jalan TAR, katanya Malaysia negara membangun dan bakal menjadi negara membangun pertama yang hantar rakyatnya ke angkasa. Minta maaf cik adik, ada negara membangun lain yang lebih awal pergi dahulu. Tidak apa, aku faham kamu hanya baca majalah Mangga di rumah.
Bertentangan pula dengan Encik Vellu (tiada kena mengena dengan Samy Vellu) yang berkata, "Malaysia ini negara maju, jadi sekarang kita sudah hantar orang pergi angkasa, jadi betullah ini negara maju". Okay, aku silap, kamu kemungkinan besar ada sangkut paut dengan Samy Vellu.
Stesyen TV Malaysia memang suka pergi ke jalanraya dan buat temuramah secara rambang. Dan walau bodoh atau dungu jawapan yang diberikan, ia masih akan ditayangkan untuk tatapan umum.
Turut ditayangkan oleh TV3 ialah suasana di Dataran Merdeka di mana rakyat Malaysia menonton siaran langsung melalui TV kecil di tengah padang kerana skrin gergasi rosak. Kita pergi angkasa tapi tidak mampu baiki skrin?
Majlis buka puasa beramai-ramai dan menonton siarang langsung pelancaran Misi Soyuz TMA-11 berlangsung di Pusat Konvensyen KLCC berserta upacara solat hajat untuk mendoakan keselamatan dan kejayaan Angkasawan Dr Sheikh Muszaphar. Ya, solat hajat kerana kita negara Islam Hadhari. Pak Lah dan Najib Mongolia turut hadir memeriahkan majlis.
Pengacara majlis tidak lain tidak bukan ialah Mahadzir Lokman yang tidak tahu diam. Ketika live feed diterima melalui NASA TV lengkap dengan ulasan pakar dari NASA, Mahadzir Lokman pula sibuk menyeru para pengunjung untuk berteriak 'Malaysia Boleh' dan 'Malaysia Gemilang'. Can you just shut the fuck up?! Aku mahu dengar ulasan saintifik dan maklumat dari pakar, tentang proses pelancaran, tujahan enjin roket, kelajuan dan ketinggian, perlepasan enjin peringkat satu, dua dan seterusnya, tekanan G yang diterima para Astronaut, Kosmonaut dan Angkasawan, suhu dan tekanan atmosfera, insertion orbit parameters, powered flight estimation and system nominality.
Oh, seperti yang aku kata, siaran langsung acara propaganda dan 'naik-nama' kerajaan adalah satu insult to my intelligent mind. Our intelligent mind!
Dr Sheikh Muszaphar tiba di orbit selepas 10 minit powered flight. Kapal Soyuz TMA-11 akan mengorbit untuk dua hari sebelum tiba pada ketinggian sepatutnya untuk berlabuh dengan Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS). Malaysia buat masa ini sudah berjaya menumpangkan rakyatnya ke angkasa, yang bakal melaksanakan beberapa uji kaji saintifik di sana.
Nasib kita kurang baik kerana si Angkasawan tidak akan membuat teh tarik atau melukis batik untuk dijual pada makhluk asing atau Extra Terrestrial di atas sana. Kalau tidak, mungkin cawangan Nasi Kandar Pelita atau Noor Arfa Batik bakal ditubuhkan di angkasa dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.
Malaysia Boleh!
10 October 2007
Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Jangan Lupa Kirim Salamku Pada Laika Bila Kamu Tiba Di Angkasa
Malam ini Angkasawan Dr Sheikh Muszaphar Shukor bakal menjadi rakyat Malaysia yang pertama tiba di angkasa. Walaupun tidak digembar-gemburkan dengan meluas, beliau juga bakal menjadi orang Melayu pertama tiba di angkasa.
Langsung tidak digembar-gemburkan ialah Malaysia bukannya negara Dunia Ketiga pertama yang menghantar rakyatnya ke angkasa. Jiran sebelah rumah kita, Vietnam terlebih dahulu menghantar Pham Tuan pada 23 Julai 1980. Dr Sheiks Muszapahar juga bukan Muslim pertama di angkasa, Salman al-Saud dari Arab Saudi sudah tiba di sana dahulu pada 17 Jun 1985.
Istilah Angkasawan pula lebih gembar-gemburnya di Malaysia. Agensi angkasa milik Amerika Syarikat, NASA menggelar Dr Sheikh Muszaphar sebagai Peserta Penerbangan (Flight Participant). Nasib baik rakan baik kita, Rusia lebih terbuka dan meletakkan Dr Sheikh Muszaphar sebagai Kosmonaut Penyelidikan (Research Cosmonaut).
Walau apa pun, Malaysia mencipta nama lagi , biarpun sekadar menumpang roket orang. Macam Enrique dari Melaka yang jadi terkenal kerana ceritanya dialah manusia pertama yang mengelilingi dunia. Khabarnya orang Melayu, Panglima Awang namanya. Kerana menumpang kapal Ferdinand Magellan, dia berjaya mengelilingi dunia.
Bezanya Enrique atau Panglima Awang adalah hamba tawanan Ferdinand Magellan. Ikut versi Barat tugasnya sebagai hamba dan penterjemah untuk kapitan Portugis itu, sudah di Kristiankan pun. Tapi versi Malaysia Boleh yang muncul baru-baru ini, Panglima Awang bukan hamba tapi penterjemah dan sahabat Magellan, dia juga kekal Islam sehingga ke akhir hayat.
Tidak kisahlah yang mana satu pun.
Yang penting, malam ini Dr Sheikh Muszaphar naik roket pergi ke angkasa. Dia bukan hamba abdi orang-orang Rusia. Dia pergi kerana Malaysia ada cukup duit untuk beli 18 buah jet pejuang termoden, bayar separuh guna minyak kelapa sawit dan masukkan pakej pelancongan angkasa untuk seorang rakyat Malaysia dalam kontrak jual-beli.
Silap, dia bukan pelancong angkasa. Dia Angkasawan!
Dr Sheikh Muszaphar, selamat berangkat. Jangan takut, balik nanti kamu mesti dapat anugerah Datuk!
Malaysia Boleh!
09 October 2007
Menulis Di Dalam Bahasa Ibunda
Semenjak ditukar dari Bahasa Inggeris ke Melayu, jumlah pelawat meningkat dengan mendadak. Mengukuhkan teori sebahagian besar dari pembaca blog ini adalah dari kalangan orang-orang Melayu, dari kedua-dua sub-spesis Proto dan Hadhari.
Dan selepas satu minggu, adakah ianya lebih mudah dalam Bahasa Melayu berbanding Inggeris?
Jawapannya tidak. Aku masih juga pening, masih juga tercari-cari perkataan yang sesuai untuk digunakan kerana di dalam kepala aku masih lagi berfikir ala Francis Light. I think in English, and then fucking translate it into Malay when I start to write the post.
Tapi demi menyahut seruan revolusi untuk memelayukan blogosfera sebelum 2020, nampaknya aku perlu terus berusaha dan menguatkan tekad untuk menulis di dalam bahasa ibunda.
Cuma sebelum itu, boleh sesiapa tolong beritahu bagaimana aku carut fuck dalam Bahasa Melayu?
08 October 2007
Majlis Perkahwinan Cempaka Anak Perempuan Si Putum, Menu Utama: Rendang Babi
Wah, suka betul kamu semua dengan anjing dan babi ya? Punyalah banyak komen aku terima tentang pos aku mengenai dua makhluk ini. Sambutan yang di luar dugaan.Terbukti teori aku bahawa orang Melayu mempunyai pertalian yang rapat dengan babi dan anjing adalah benar. Ketika Tanah Melayu masih belum ada masjid dan nama orang-orang Melayu belum ada perkataan Bin atau Binti, anjing dan babi memainkan peranan besar dalam kehidupan moyang-moyang Melayu kamu.
Ya, lama dulu moyang-moyang Melayu kamu menjadikan anjing sebagai rakan untuk memburu babi yang dijadikan sajian utama di majlis kenduri-kendara. Semua itu lama sebelum Parameswara bertemu dengan pedagang Arab di Melaka yang menjual shisha dan minyak atar.
Kemudian Parameswara memeluk Islam dan akhirnya orang-orang Melayu menjadi lebih Islam dari orang-orang Arab itu sendiri.
Dan kemudian apabila Islam di Arab disinonimkan dengan keganasan, orang-orang Melayu melalui aparat politik seperti UMNO mencipta Islam baru yang dinamakan Islam Hadhari, yang pastinya lebih Islam dari Islam bangsa-bangsa lain dan juga mempunyai ekspo seperti Perkampungan Islam Hadhari di mana anda boleh membeli kopi Tongkat Ali pada harga diskaun untuk lebih semangat libido!
Cik nurulazreenazlan, kamu boleh pergi sini untuk baca penjelasan dari doktor veterinar yang kamu ingin tahu itu.
Maaf, aku tak dapat hantar email pada kamu. Bukan apa, profail kamu kata kamu di London, nanti kalau aku hantar email pada kamu upahnya nanti ialah kamu kena belikan skaf Chelsea untuk aku pula.
Tentang gambar - Anjing (bukan milik aku) dengan sut babi berwarna merah jambu, gabungan dua makhluk yang cukup digeruni orang-orang Melayu
05 October 2007
Ni Siapa Punya Kerja Ni?
Tapi kau kena ingat, raya lagi satu minggu je. Sesak, penuh dengan manusia. Kau pun tahu kan ramai orang kat sini. Hari biasa pun ramai orang, apa lagi bila raya dah dekat. Aku tahulah sebab dah tiga tahun aku kerja kat sini.
Dah la hari ni hari Jumaat. Abang-abang pejabat turun kawasan ni nak sembahyang Jumaat, kau tahu tak? Yang datang dari jauh pun ada. Kalau nak dengar khutbah Melayu, mereka pergi Masjid Jamek. Kalau nak dengar khutbah Tamil, boleh pergi Masjid India. Kalau nak main game, lepak je kat Pertama Complex.
Akak-akak pejabat pun ramai. Nak dekat raya ni lagi la sakan dia orang datang kawasan ni. Orang lelaki pergi sembahyang, orang perempuan bergi membeli-belah, biasalah tu. Masa ni lah akak-akak pejabat nak tengok tudung bawal terkini atau kain songket bunga tabur untuk raya nanti.
Tapi hari ni juga la kau nak buat acara kau kat sini. Buat perhimpunan haram kau. Kau punya pasal ejen-ejen Abang Besar dah turun, nanti aku yang tak bersalah pula kena. Dah la aku pergi kerja pakai baju-t SDN.
Hari tu aku pakai baju-t SDN, pandu kereta, kena tahan dengan polis. Kamu nak sangat masuk neraka ke, Sarjan tu tanya dengan aku. Dah la cukai jalan kereta aku mati.
Kau tahu, sampai hari ni aku masih trauma.
Tapi hari ni, aku turun bawah je, kau buat demonstrasi 'Hapuskan ISA' depan pejabat aku. Tengah hari buta pula tu. Aku nak keluar pejabat pun tak boleh.
Ejen-ejen Abang Besar pun ramai, ada muka A. Galak, muka Norman, muka Yusof Haslam. Muka Abby Abadi je yang tiada. Semua turun sebab perhimpunan haram kamu.
Kalau kamu bersangkut-paut dengan perhimpunan 12.30 tengah hari tadi, dekat stesen LRT Masjid Jamek, dan kamu sedang baca blog ini, baik kamu mengaku dan minta maaf dengan aku cepat.
Kamu punya pasal, aku terus naik LRT, pergi KLCC dan lepak baca buku di Kinokuniya. Habis hangus sembahyang Jumaat aku hari ini.
Nanti Tuhan tanya, kamu tolong jawab ye?
04 October 2007
Sesuatu Yang Terindah
Tee Hui Yi, remaja perempuan berumur 14 tahun yang dikira-kirakan cuma ada tempoh satu tahun lagi untuk hidup dengan sokongan jantung mekanikalnya, telah pun menerima jantung yang diperlukan hari ini. Sedang aku menikmati buka puasa dengan karipap percuma (sumbangan ikhlas pihak pengurusan untuk staf yang bekerja lewat), mesej teks dari seorang sahabat masuk:
"Hui Yi sudah dapat jantung, derma dari seorang budak lelaki 15 tahun dari Ipoh."
Dan karipap percuma yang rasanya tawar tadi, tiba-tiba terasa enak.
Setakat ini maklumat yang diterima masih agak kabur. Tapi dari beberapa sumber tidak rasmi mengatakan budak lelaki 15 tahun dari Ipoh adalah berbangsa Melayu, yang telah koma setelah terlibat dalam sebuah kemalangan. Ibubapanya membuat keputusan untuk mendermakan jantung anak mereka kepada Hui Yi setelah anak mereka meninggal dunia semalam.
Keluarga si penderma telah meminta identiti mereka dirahsiakan.
"Jantung anak Melayu di dalam tubuh anak Cina, dan kita di dunia ini masih lagi bertekak kerana warna kulit." - mesej teks dari sahabat
Perkauman bukan isu sebenar di sini, tapi nyawa yang berjaya diselamatkan. Namun yang terindah sudah pasti bila mana sebiji jantung Melayu masih boleh menjalankan tugas yang sama dalam tubuh seorang Cina.
Luaran kita berbeza, tapi yang selalu kita lupa, dalamannya kita semua sama. Jantung yang sama, hati yang sama, warna darah yang sama.
Sini untuk sumber yang kredibel.
Satu Hari Nanti Aku Nak Bela Anjing German Shepherd, Dan Suruh Dia Gigit Mamat Dan Minah Melayu Paranoid Di Luar Sana


Bila Kamu Dalam Kesempitan, Ayuh! Bunyikan Loceng Di Gereja!
Ya, Kapitan Chelsea merangkap Kapitan England, John Terry turun dengan topeng Zorro-nya malam tadi, membuatkan imperialis Sepanyol di Mestalla terkucil, lagak kisah Zorro di Mexico dulu kala.Mula-mula kecut juga bila David Villa dah mula sumbat gol seawal minit ke-9. Tengok kat tepi padang Avram Grant dah mula usap kepala dia, tanda tertekan lah tu. Aku pun dah mula teragak-agak, dari berjaga sampai pagi untuk tengok Chelsea tersungkur, agaknya lagi afdal kalau aku berjaga untuk mencari Lailatul Qadar.
Namun sesungguhnya Tuhan bersama orang-orang yang sabar. Minit ke-21, Joe Cole menjaringkan gol hasil hantaran cantik Florent Malouda, gol penyamaan! Tapi lepas tu aku masih tak dapat duduk diam, Valencia kawal permainan dan aku pun sekejap duduk atas sofa, lepas tu atas lantai, kejap lagi naik atas sofa balik.
Akhirnya, minit ke-71, aku dapat peluang buat seperti apa yang telah dibuat oleh Bapa Si Layla Kathija, menumbuk padu ke udara sambil berteriak YES!. Cuma bezanya aku boleh jerit kuat-kuat sebab masih bujang.
Abang Drogba aku macam biasa tidak menghampakan anak buahnya. Hantaran terus Cole kepada Drogba diambil dengan baik dan dengan kepantasan lagak singa di Afrika mengejar kuda belang, meluru laju melepasi benteng pertahanan lalu merembat dengan kaki kiri untuk gol kemenangan.
Avram Grant pun dah tak usap kepala lagi dah. Aku pun dah boleh duduk diam atas sofa. Wisel penamat ditiup, dan semua pemain Chelsea berkerumun di keliling Si Zorro, John Terry.
The Blues sudah kembali!
03 October 2007
Abang Drogba Telefon Aku Baru Kejap Tadi...

paddypower.com letak 22/1 drogba jaring 2 gol. Tak kisah la, asalkan menang cukup, tapi memang baguslah kalau gol lebih banyak dari ManUre dengan Arse-nal malam tadi.
Tapi Aku Peduli
Menulis mengenai Perempuan Ampang, Evolusi Rempit, Lolita Goth Times Square, Mat Belia dan sebagainya. Langsung mencipta tafsiran antropologi baru. Tafsiran antropologi yang tidak pernah didengari oleh professor-professor antropologi di IPTA sebelum ini. Tapi tafsirannya, walaupun mungkin tidak 100% tepat, agak relevan dan terkini dengan situasi kita di Malaysia.
Aku tak kenal penulis blog ini (hampir semua penulis blog yang lain pun aku tak kenal), tapi bunyinya macam bekerja di bidang seni, mungkin pengarah seni barangkali, atau penganjur acara seni? Yang pasti dia bukan ahli antropologi, tapi cukup berbakat dalam mengkaji manusia.
Oh, dan dia juga Melayu Minimalis, maksudnya dia tak peduli nak pasang langsir baru bila raya nanti.
Ada orang bercakap Semusim Di Neraka agak kurang menyengat sekarang, jadi mereka kebosanan di kubikel kerja, kafe siber atau kafe yang betul-betul menjual kopi sambil meluncur internet. Saranan aku, pergi baca Aku Tak Peduli.
Abang Botak
Tak sangka pula, tiba-tiba mamat ni siap buat satu pos dengan rasa terharu sebagai menghargai pengiktirafan aku sebab letak dia sebaris dengan Yul Brynner dan Vin Diesel. Tapi kau memang layak Alex Roy, kepala botak dan licin, bawa kereta BMW M5 yang hebat, lumba haram, mengorat awek *Senarai-A, pergi parti bebas dan ada banyak duit. Syurga dunia tu!
Kalau Yul Brynner masih hidup, mungkin dia juga akan tulis penghargaan ke atas aku di blog miliknya (mimpi di siang hari).
Okay, aku dah puji kau cukup-cukup Encik Alex Roy, nanti jangan lupa bila ada Gumball ata Bull Run, bawa aku naik kereta BMW M5, kita lumba sama-sama untuk Team Polizei 144, pergi parti bebas dan berparti dengan awek-awek Senarai-A. Tapi sebab aku tulis dalam bahasa ibunda Mokhtar Dahari, kau bukan faham pun.
Oh ye, atau pun kau bagi saja nombor telefon model yang menggayakan jaket Team Polizei 144 di bawah. Aku yakin dia faham istilah atas dan bawah, dan juga tahu drive, fast enough. :)

02 October 2007
Sayang, Saya Suruh Awak Beraksi Di Atas, Bukan Baring Di Bawah
Tapi macam mana aku boleh duduk di pejabat lepas waktu berbuka, sampai pukul 9.30 malam hanya sebab rakan sekerja aku keliru dengan istilah atas dan bawah?
(SS di sini adalah gadis manis dari selatan tanah air yang agak menarik, agak manja)
Aku : Okay, so you dah clear sampai branch 237?
SS : Yup.
Aku : Then I just do from branch 237 ke atas je la?
SS : A'ah yer. You buat dari 237 ke atas, yang kat bawah semua I dah buat.
Aku : 237 onwards right?
SS : Yes.
Lebih kurang satu jam kemudian.
SS : Maximus, you dah buat sampai branch 205 ke?
Aku : Huh? 205? Branch 205 bukan you dah buat ke?
SS : Eh, you buat yang mana ni?
Aku : 237 dan ke atas la, I dah sampai branch 256 dah ni!
SS : Eh yang itu semua I dah buat, you buat 237 ke atas, means 237 until 200!
Rupa-rupanya apa yang minah ni maksudkan "ke atas" ialah sebab dalam senarai cawangan (branch), 200 bermula di atas sebagai cawangan pertama dan 300 di akhir/bawah senarai sebagai cawangan terkahir.
Tapi aku dah sebut ayat "237 onwards" kan? Dan lumrah dalam kerja seharian kami, kalau sebut 237 ke atas maksudnya 237 dan seterusnya hingga 300. Tiap-tiap bulan aku dah buat benda ni.
Satu jam terbuang sebab aku mengulang kerja yang SS dah buat. Aku pun dah letih dan malas, taip pos ni untuk blog lagi bagus.
Tak dapat aku bayangkan kalau jumpa perempuan macam SS, nanti atas katil bila aku suruh duduk atas dan buat "aksi kuda", harus agaknya dia pergi baring kat bawah ala-ala "missionary".
Boleh hilang keghairahan aku masa tu.
Astro Dan Saluran-Saluran Tiga Angka
"6x3?"
"Lapan belas", aku jawab dengan penuh yakin.
"18x3?"
Aku diam sekejap. Otak berpusing ligat buat kira-kira. Lima puluh empat, aku jawab.
"54x6?"
Lima saat. Sepuluh saat. Otak aku dah sangkut.
"Berdiri atas kerusi!"
Memang kalau dah masuk bab tiga angka, bukan senang nak ingat. Semalam Astro memulakan penyusunan semula saluran-saluran yang dah semakin banyak. Kalau RTM1 dulu kita tekan 1, sekarang kena tekan 101.
Kelam kabut juga dibuatnya. Semalam nak tengok History Channel, dari nombor 500 aku tekan sampai ke 555, baru jumpa apa yang aku nak tengok.
Bangun sahur pagi tadi, cuba cari TV9 sebab nak dengar tadarus Al-Quran sambil makan ayam sejuk, malas nak mengaji jadi dengar orang mengaji saja lah. Pun kelam kabut dibuatnya, ikut buku Astro Guide nombor baru 109, tapi yang keluar Astro @15.
Dulu-dulu sebelum abah aku pasang Astro kat kampung, tiga saluran je yang ada. Bila ada Astro aku pening sikit. Tapi lama-lama okay, dah boleh hafal. Sekarang dah jadi tiga angka, aku rasa untuk 3 ke 4 bulan ni terpaksa la pening sekejap.
Tak kisah la, TV punya pasal, bukan sifir darab!
Siapa Nak Trivia Filem Tamil?
"Tahukah anda bahawa Vikram & Prashanth adalah saudara rapat? Dapatkan info menarik Trivia Filem Tamil setiap hari. Hantar ON TR ke 22007. RM5/30 hari."
Nombor satu, aku memang tak tahu pun yang mamat Vikram dan Prashanth adalah saudara rapat, tapi kalau dia orang ada bau-bau bacang dengan Samy Vellu, aku tak terkejut.
Nombor dua, aku tak faham Tamil, jadi aku memang jarang tengok filem Tamil, atau nak ambil perhatian pasal industri filem Tamil. Kalau ada pun filem Tamil yang aku layan, cuma bila masuk babak pergaduhan antara kampung secara beramai-ramai, lazimnya guna batang buluh atau rotan, selalunya berpunca dari anak dara kena kacau atau pertindihan sempadan sawah padi.
Tapi kalau ada antara kau orang semua yang layan filem Tamil, jangan lupa ON TR ke 22007. Baru lima ringgit je sebulan!
Tidak, Aku Belum Buang Tabiat Lagi
Jadi mulai hari ini, kita tulis dalam bahasa ibunda Mokhtar Dahari. Nanti bila dah tukar angin balik, bila nama blog jadi Tronoh Tranquility balik, kita tulis dalam bahasa ibunda Frank Lampard.
Selamat membaca dengan santai!