17 Januari 2012

Love Knows No Boundaries

A year ago, I met someone. Someone who is not even related to me by blood, but yet that someone is the person that I have been waiting for anxiously. We had our chance to know each other, even though not even for a day. Somehow in my own way, I love that someone.

A year has passed since then. I wish that someone a good life, a great future and a meaningful existence. One day our path may cross again, but rest assured, I'd still love you in my own way.

Love knows no boundaries.

12 Januari 2012

12 Januari 2012

Semalam aku diserang selsema dan demam yang akut. Berbiji-biji pil masuk ke dalam badan dan hanya menjelang pertengahan malam barulah sistem biologi aku kembali ke arah proses pemulihan yang sepatutnya.

Pagi ini aku bangun dan seperti biasa memulas kepala paip tetapi dikejutkan dengar khabar kurang gembira apabila tidak ada setitis air pun yang keluar dari kepala paip yang aku pulas itu. Ini bermakna bukan saja aku tidak dapat mandi tapi juga tidak dapat minum air panas yang merupakan satu kemestian setiap pagi apa lagi dengan saki-baki kesan selsema semalam yang masih ada dalam badan.

Kalau 10 tahun dulu mungkin langkah penyelesaian yang paling mudah untuk aku ialah tarik selimut, layan tidur dan bila matahari tinggi sedikit barulah telefon pejabat untuk maklumkan aku cuti sakit (padahal masa itu belum pun pergi klinik ambil sijil cuti sakit lagi).

Tapi pagi tadi, aku masukkan peralatan kebersihan diri, sehelai tuala, sepersalinan pakaian kerja dan pil-pil ubatan ke dalam beg. Aku sarung helmet, tolak basikal keluar rumah dan memulakan kayuhan ke pejabat seawal jam 6.30 pagi. Sebaik tiba, aku terus menghala ke bilik air di pejabat yang turut menyediakan ruang mandi. Selang tak berapa lama, aku sudah siap untuk memulakan hari ini.

Semua ini kerana:

  1. Aku malas nak melayan sakit. Bila sakit aku akan cuba beranggapan aku sihat dan cuba untuk pulih kembali secepat mungkin.
  2. Aku malas untuk bermalas seharian di rumah pada hari kerja. Lebih baik aku masuk kerja, selesaikan tugas hakiki dan kalau ada masa terluang selesaikan kerja sampingan aku yang lain seperti menulis atau menelaah Internet.
  3. Aku malas untuk tersangkut dalam kesesakan lalu lintas dan membakar petrol dalam tangki kereta. Semenjak berbasikal ini aku lebih suka merasai tiupan angin pagi di muka dan membakar kalori dalam badan.
Dengan malas yang sebegini rupa, aku yakin dan berharap tahun 2012 ini akan jadi tahun yang sangat power.

Moga diperkenankan Tuhan hendaknya.

09 Januari 2012

Pendapat Saya Tentang Keputusan Kes Anwar Ibrahim Liwat Saiful Bukhari





"I'm coming from behind! The only way!"
- Get What You Deserve (Sodom)

Terjemahan Google: 
"Saya datang dari belakang! Satu-satunya cara!"

LOL!

06 Januari 2012

Perihal Roti



Aku dengar cerita di Malaya sekarang sedang sibuk bergaduh pasal roti. Ya hanya di Malaya saja yang suka bergaduh pasal benda-benda kecil ini. Di Borneo kami semua masih rilek minum montoku di tepi kali.

Sebenarnya hal roti Gardenia ni siapa punya, beli bekalan tepung kat mana atau perkauman ke tidak bukanlah menjadi keutamaan buat rakyat 1Malaysia dari sebelah Borneo. Yang menjadi keutamaan rakyat 1Malaysia dari sebelah Borneo ialah setiap kali mereka jalan-jalan ke Malaya, adalah wajib untuk tapau sebanyak mungkin roti Gardenia pelbagai jenis dan perisa untuk dibawa pulang ke Borneo.

Sebab itulah kalau kita ke LCCT atau KLIA, roti Gardenia di sana memang cepat kehabisan.

Hal ini kerana di sebelah Borneo ini, tidak ada kemewahan untuk makan Twiggies atau Squiggles sesuka hati. Butterscotch memang jauh sekali. Di Sabah walaupun ada roti putih Gardenia tetapi ianya berlubang-lubang dan mempunyai kecenderungan untuk berkulat sebelum tarikh luput. Manakala di Sarawak pula jika tidak silap aku, memang langsung tidak mempunyai sebarang spesis roti Gardenia.

Maka oleh itu isu yang menjadi perhatian lebih utama buat rakyat 1Malaysia di sebelah Borneo ialah hak mereka sebagai rakyat untuk mendapatkan bekalan roti yang bermutu tinggi dan sedap. Aku harap ahli-ahli politik dari sebelah Borneo boleh memperjuangkan hak asasi ini dalam PRU akan datang.

Bagi rakyat 1Malaysia dari sebelah Malaya pula, bersyukurlah kerana anda boleh mendapatkan bekalan roti yang bermutu tinggi dan sedap semudah melangkah ke 7 Eleven. Kerana anda tidak tahu betapa seksanya hidup di dunia tanpa roti yang bermutu tinggi dan sedap seperti kami di sebelah Borneo.

29 Disember 2011

Kayuh Untuk Kerja




Sesiapa yang rajin mengikuti aku di Facebook atau Twitter pasti tahu bahawa ada masanya aku berbasikal ke pejabat.

Bermula dengan niat sekadar kaedah pengangkutan alternatif, sekarang basikal sudah menjadi kaedah pengangkutan utama untuk aku pergi kerja. Kereta yang sebelum ini kerap digunakan sudah jatuh nombor dua. Hanya digunakan bila benar-benar perlu, sama ada jika kerja hari itu menuntut perjalanan luar yang jauh atau kerana keadaan cuaca yang cemburu kepada basikal.

Berbasikal untuk ke pejabat bagi aku adalah sama seperti apa yang dilakukan selama 6 tahun dulu ketika di sekolah rendah, iaitu berbasikal untuk ke sekolah. Dan ramai dari kita juga pastinya pernah melalui fasa berbasikal ke sekolah ini. Jadi berbasikal ke pejabat adalah lebih kurang mengulang kembali rutin yang pernah kita buat dulu ketika masih berjiwa muda dan bertenaga.

Asal-usul berbasikal ke pejabat ini bermula pada 16 Mei 2011. Pada masa itu Bunny kesayangan datang dari Kuala Lumpur untuk bercuti di Sabah dan turut membawa bersama basikal fixie kepunyaannya.  Oleh kerana tidak sampai hati membiarkan Bunny kayuh basikal seorang diri, aku pun buat keputusan membeli sebuah basikal untuk diri sendiri. Lagi pun niat hendak berbasikal ini memang sudah lama dipendam dari dulu lagi.

Tidak banyak kedai basikal di Kota Kinabalu sebenarnya. Kedai yang benar-benar serius ada dua ketika itu. Satu di Kampung Air dan satu lagi di Tanjung Aru. Setelah mengkaji harga pasaran dan pakej yang ditawarkan oleh kedua-dua kedai, aku akhirnya memilih sebuah basikal berjenama Oscar dengan harga mampu milik, RM450 dari kedai yang di Tanjung Aru. Ianya sebuah mountain bike (MTB) yang boleh digunakan baik di atas jalan raya atau jalan tidak beraya.

Walaupun tidak semahal dan berjenama seperti Merida contohnya, basikal Oscar ini bagi aku sudah cukup bagus dan sesuai untuk kegunaan seharian, bukan sekadar untuk memanjat bukit di hujung minggu. Ianya mudah diselenggara dan menjimatkan kos. Pun begitu aku menetapkan untuk mengayuh lebih dari 450km agar pelaburan sebanyak RM450 untuk basikal ini boleh dikira berbaloi.

Aku sempat berbasikal dengan Bunny sekali sahaja. Kemudian dia pulang ke Kuala Lumpur dan begitu juga dengan basikal fixie kepunyaannya. Basika yang aku beli lebih banyak tersadai di rumah. Sepanjang bulan Mei dan Jun hanya dalam 2 ke 3 kali sebulan saja aku berbasikal. Pada masa itu aku masih lebih banyak berlari dari berkayuh.

Kemudian Julai tiba dan serentak dengan itu aku juga beralih dari menggunakan aplikasi GPS senaman Runtastic kepada Endomondo. Pada masa yang sama juga aku kembali berjinak dengan basikal Oscar yang aku beli, mempelbagaikan aktiviti senaman dengan berkayuh dari sekadar berlari. Menyusul selepas Julai ialah Ogos yang merangkap bulan puasa dan basikal aku kembali tersadai. Usai Aidilfitri, aku kembali rajin berkayuh sepanjang September tapi ianya masih juga terhad kepada aktiviti senaman.

Semuanya berubah pada 14 Oktober 2011. Pada jam 6.28 pagi, buat kali pertama aku berbasikal dari rumah ke pejabat. Semenjak dari hari itu aku telah melakukan rutin kayuh untuk kerja ini sebanyak 42 kali.

Adakah aku telah berjaya menebus balik pelaburan sebanyak RM450 untuk dikira sebagai berbaloi membeli basikal Oscar ini?

Secara keseluruhannya hingga hari ini, aku telah berbasikal sejauh 565.75km. Diambil kira pula jumlah petrol dan wang yang dapat dijimatkan, ianya lebih dari berbaloi.